Hilang empat hari, Muhd Safuan ditemui tidak bermaya

Walaupun berdepan cabaran liputan komunikasi yang terhad di kawasan operasi, pasukan SAR terus menjalankan pencarian secara berperingkat dan tersusun Foto: JBPM
Walaupun berdepan cabaran liputan komunikasi yang terhad di kawasan operasi, pasukan SAR terus menjalankan pencarian secara berperingkat dan tersusun Foto: JBPM
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang lelaki yang dilapor hilang telah ditemui pada Khamis kira-kira 15 kilometer (km) dari lokasi terakhir dia dikesan hilang pada Isnin di Kampung Kandek, Dabong di sini.

Mangsa, Muhd Safuan Che Mood, 38, ditemui oleh seorang pekerja ladang sawit dalam keadaan letih dan tidak bermaya sebelum diserahkan kepada ahli keluarganya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Dabong, Pegawai Bomba Tinggi II Zaimi Samat berkata, laporan kehilangan lelaki terbabit diterima pihaknya pada Rabu selepas ahli keluarga memaklumkan bahawa mangsa tidak pulang ke rumah sejak Isnin kira-kira jam 11.30 malam.

Seorang lelaki ditemukan selamat pada Khamis kira-kira 15 kilometer (km) dari lokasi terakhir dia dikesan hilang pada Isnin di Kampung Kandek, Dabong, Kuala Krai. Foto: JBPM
Seorang lelaki ditemukan selamat pada Khamis kira-kira 15 kilometer (km) dari lokasi terakhir dia dikesan hilang pada Isnin di Kampung Kandek, Dabong, Kuala Krai. Foto: JBPM

"Anggota digerakkan segera ke lokasi dan operasi pencarian dijalankan bersama penduduk kampung di laluan yang biasa dilalui mangsa.

"SAR (operasi mencari dan menyelamat) kemudiannya diperluaskan dengan penglibatan Unit K9 Bomba, selain kerjasama pelbagai agensi termasuk polis, APM (Angkatan Pertahanan Awam Malaysia) serta orang awam," katanya pada Khamis.

Menurut beliau, operasi SAR pada hari Khamis membabitkan lebih 30 anggota dan pegawai daripada pelbagai agensi, dengan pencarian dibahagikan kepada beberapa pasukan meliputi kawasan sungai, hutan dan berbukit.

Ujarnya, pasukan A menggunakan bot untuk pencarian di sungai manakala pasukan B menumpukan kawasan hutan bersama anjing pengesan dan pasukan C melakukan pencarian di kawasan berbukit, juga dibantu Unit K9.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun berdepan cabaran liputan komunikasi yang terhad di kawasan operasi, pasukan SAR terus menjalankan pencarian secara berperingkat dan tersusun.

"Lelaki terbabit akhirnya ditemui sekitar jam 5.20 petang oleh pekerja ladang sawit, sebelum disahkan oleh ahli keluarga. Hasil maklumat keluarga, mangsa dipercayai mempunyai gangguan halusinasi dan sering merayau sendirian.

"Keadaan mangsa stabil walaupun keletihan, dan diserahkan kepada keluarga untuk tindakan lanjut dan SAR ditamatkan sepenuhnya pada jam 6 petang," katanya.

Ringkasan AI

  • Seorang lelaki hilang di Kampung Kandek, Dabong ditemui 15 kilometer dari lokasi terakhir
  • Ditemui oleh pekerja ladang sawit dalam keadaan letih dan tidak bermaya
  • Operasi SAR melibatkan lebih 30 anggota dari pelbagai agensi termasuk Unit K9 Bomba
  • Operasi pencarian dibahagikan ke dalam beberapa pasukan merangkumi kawasan sungai, hutan, dan berbukit
  • Mangsa, yang memiliki gangguan halusinasi, stabil dan diserahkan kepada keluarga setelah ditemui

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!