Wanita Rohingya dibunuh suami selamat dikebumikan bersama bayi dalam perut

Zurahaque (tiga dari kanan) bersama komuniti Rohingya membacakan doa di pusara wanita hamil yang maut dibunuh suaminya menggunakan lesung di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam pada Rabu.
Zurahaque (tiga dari kanan) bersama komuniti Rohingya membacakan doa di pusara wanita hamil yang maut dibunuh suaminya menggunakan lesung di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam pada Rabu.
A
A
A

KOTA TINGGI - Wanita warga Rohingya dipercayai dibunuh suaminya menggunakan lesung batu dalam kejadian tragis pada awal pagi Jumaat lalu selamat dikebumikan bersama bayi dalam kandungan di Tanah Perkuburan Islam Makam Dagang, Kampung Makam.

Lebih 50 orang dalam kalangan komuniti tersebut hadir memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumian mangsa pada Rabu.

Ketua Komuniti Rohingya Kota Tinggi, Zurahaque Jamaludin berkata, dia yang menuntut jenazah wanita berusia 34 tahun itu berikutan tiada waris terdekat yang dapat berbuat demikian.

Katanya, jenazah ibu kepada seorang cahaya mata itu dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) pada Selasa untuk urusan pengurusan jenazah selepas urusan bedah siasat selesai dilakukan di Hospital Sultan Ismail (HSI).

“Arwah tidak ada keluarga di sini, jadi saya ambil tanggungjawab untuk uruskan dia. Alhamdulillah, semua berjalan lancar.

"Kami ucapkan terima kasih kepada semua pihak terlibat yang membantu melancarkan urusan pengebumian ini.

"Berkaitan suaminya pula kami menyerahkan semua kepada pihak berkuasa dan undang-undang negara Malaysia," katanya.

Zurahaque berkata, anak mangsa berusia empat tahun kini berada dalam jagaan sepasang suami isteri komuniti tersebut sementara menunggu nenek atau kakak mangsa datang mengambil kanak-kanak itu.

"Anaknya nampak biasa saja. Dia tak tahu mak dia dah meninggal, cuma tahu mak masuk hospital. Tapi dia tahu ayah dia dekat lokap,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, pada Jumaat lalu seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui maut dipercayai dibunuh suaminya dalam kejadian menyayat hati itu.

Mangsa wanita berusia 34 tahun ditemui tidak bernyawa di dalam bilik rumah sewa mereka kira-kira jam 7 pagi oleh tuan rumah selepas dipercayai dibunuh kira-kira jam 3 pagi.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata pihaknya tidak menolak punca kejadian bermotifkan cemburu.

 

 

Ringkasan AI

  • Wanita warga Rohingya hamil tujuh bulan dibunuh suaminya dengan lesung batu di Kota Tinggi
  • Lebih 50 orang komuniti hadir memberi penghormatan terakhir pada majlis pengebumian
  • Ketua Komuniti Rohingya menguruskan pengebumian memandangkan tiada waris terdekat
  • Anak mangsa berumur empat tahun kini dalam jagaan komuniti sementara menunggu keluarga
  • Polis tidak menolak punca pembunuhan bermotifkan cemburu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!