Kad SIM mangsa kebakaran Orang Asli di Teluk Jawa diganti percuma

JOHOR BAHRU - Kementerian Komunikasi menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Johor akan membantu menggantikan kad SIM milik mangsa kebakaran di Kampung Orang Asli Teluk Jawa secara percuma.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, dianggarkan kira-kira 70 kad SIM rosak dalam kejadian Khamis lepas dan pihaknya akan bekerjasama dengan syarikat telekomunikasi bagi menguruskan penukaran berkenaan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Muafakat Taman Megah Ria, di sini.
"Biasanya terdapat caj dikenakan bagi penukaran kad SIM, namun kami akan berbincang dengan syarikat telekomunikasi terbabit bagi memastikan mangsa dapat menggantikan kad SIM secara percuma,” katanya pada sidang media selepas melawat mangsa di PPS berkenaan, hari ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi memastikan mangsa terus dapat menggunakan telefon bimbit untuk berhubung dengan ahli keluarga serta memperoleh maklumat terkini.
Terdahulu, Nie Ching yang juga Pengerusi DAP Johor turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 40 keluarga masyarakat Orang Asli yang ditempatkan di PPS berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kementerian Komunikasi dan MCMC Johor akan menggantikan kad SIM mangsa kebakaran Kampung Orang Asli Teluk Jawa secara percuma
- Dianggarkan 70 kad SIM rosak dalam kebakaran tersebut
- Kerjasama dengan syarikat telekomunikasi untuk mengurus penukaran kad SIM secara percuma di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Muafakat Taman Megah Ria
- Langkah ini bertujuan memastikan mangsa dapat terus berhubung dengan keluarga dan mendapatkan maklumat terkini
- Nie Ching turut menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 40 keluarga Orang Asli yang terjejas
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

