Isu Azam Baki jejaskan kredibiliti SPRM - Nik Nazmi

KUALA LUMPUR – Kontroversi terbaharu membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, menjejaskan kredibiliti institusi berkenaan pada peringkat paling asas.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, perkara paling penting ialah memastikan suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan mempunyai kewibawaan serta dilihat bebas dan telus di mata rakyat.
“Tentulah wujud pihak yang merasakan bahawa isu ini menjejaskan kredibiliti SPRM pada peringkat paling asas,” katanya ketika ditemui pada Himpunan dan Tangkap: #TangkapAzamBaki di hadapan Kompleks Sogo di sini pada Ahad.

Himpunan itu turut dihadiri Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahari Hassan dan Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail.
Menurut beliau, umum mengetahui SPRM diberikan kuasa yang sangat besar dengan niat untuk memerangi rasuah dan perkara itu tidak menjadi masalah.
“Isunya ialah apabila terdapat dakwaan salah laku seperti yang disebut sekarang, maka kita bimbang kuasa SPRM yang begitu kuat itu akan disalahgunakan,” ujarnya.
Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata, Azam Baki sebelum ini telah dilanjutkan perkhidmatannya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM.
Beliau berkata, sebelum ini Pakatan Harapan pernah meminta Azam berundur termasuk kepimpinan sedia ada seperti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Jadi kita kembali kepada manifesto, bukan sahaja Pakatan Harapan, manifesto Barisan Nasional juga. Pilihan Raya Umum 2022 jelas menyebut bahawa lantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM ini sepatutnya dibuat menerusi Parlimen,” ujarnya.
Menurutnya, perkara itu bukan alasan untuk tidak melaksanakan reformasi institusi berkenaan walaupun kerajaan ketika ini bukan kerajaan Pakatan Harapan secara mutlak.
Beliau berkata demikian ketika mengulas perkembangan berhubung penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan bagi menyiasat isu pemilikan saham oleh Azam Baki.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar dilaporkan mengesahkan bahawa siasatan telah bermula dan jawatankuasa berkenaan sedang mengumpul maklumat berkaitan kes tersebut.
Mohd Dusuki dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Khas Siasatan itu pada Jumaat.
Sementara itu, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail berkata, Azam Baki perlu digantung tugas terlebih dahulu bagi memastikan siasatan dapat dijalankan sepenuhnya tanpa sebarang campur tangan.

“Azam Baki mesti digantung tugas terlebih dahulu, biar siasatan dibuat sepenuhnya supaya dalam tempoh siasatan tidak ada campur tangan beliau dalam siasatan tersebut. Itu penting,” ujarnya.
Menurut beliau, isu yang dibangkitkan bukan hanya melibatkan individu semata-mata, tetapi turut menyentuh SPRM secara keseluruhan.
Rodziah berkata, terdapat pelbagai bentuk pengawasan yang boleh dilakukan termasuk oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) atau jawatankuasa berkaitan.
Beliau turut meminta Perdana Menteri meneliti semula skop jawatankuasa yang ditubuhkan.
“Kenapa siasat hanya beliau? Sebab itu jawatankuasa ini perlu siasat semua. Itu pandangan saya,” tambahnya.
Ringkasan AI
- Kontroversi membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Tan Sri Azam Baki, menjejaskan kredibiliti institusi
- Menurut Ahli Parlimen Setiawangsa, suruhanjaya siasatan yang ditubuhkan harus dilihat bebas dan telus
- Ada dakwaan salah laku yang menyebabkan kebimbangan kuasa SPRM akan disalahgunakan
- Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan untuk menyiasat isu pemilikan saham oleh Azam Baki
- Ahli Parlimen Ampang menyatakan Azam Baki perlu digantung tugas untuk memastikan siasatan tanpa campur tangan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

