PGA rampas vape lebih RM3 juta, tahan 18 lelaki

Briged Tenggara PGA merampas pelbagai rokok elektronik (vape) bernilai RM3.03 juta dalam siri serbuan serentak melibatkan negeri-negeri Pantai Timur pada Selasa. FOTO: PGA
Briged Tenggara PGA merampas pelbagai rokok elektronik (vape) bernilai RM3.03 juta dalam siri serbuan serentak melibatkan negeri-negeri Pantai Timur pada Selasa. FOTO: PGA
A
A
A

KOTA BHARU – Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis rokok elektronik (vape), perisa dan komponen bernilai RM3.03 juta dalam siri serbuan serentak melibatkan negeri-negeri Pantai Timur menerusi Op Bersepadu E-Cigarette Mega pada Selasa.

Operasi besar-besaran bermula jam 2 hingga 6 petang itu menyaksikan 18 premis diserbu serentak di Pahang (Kuantan), Kelantan (Kota Bharu, Bachok), Terengganu (Kuala Terengganu, Jerteh).

Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, seramai 18 lelaki ditahan bagi membantu siasatan.

"Beberapa premis turut dikenakan tindakan denda dan kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), Akta Perlesenan Tred dan Perindustrian 2019 serta undang-undang kecil PBT.

"Hasil risikan dan pemantauan rapi mendapati premis-premis terbabit aktif menjalankan kegiatan penjualan rokok elektronik secara terbuka tanpa mematuhi peruntukan undang-undang sedia ada," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Operasi bersepadu itu melibatkan seramai 157 pegawai dan anggota PGA, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Menurut beliau, rampasan keseluruhan melibatkan 193.53 liter cecair vape pelbagai perisa bernilai RM2,267,111, 10,745 unit peranti e-cigarette bernilai RM734,825 dan 1,287 unit aksesori e-cigarette bernilai RM25,740.

Ujarnya, jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan RM3,027,676.

Beliau memberitahu, selain rampasan, tindakan penguatkuasaan turut melibatkan pengeluaran denda dan kompaun oleh KKM dan PBT dengan Pahang merekodkan denda tertinggi sebanyak RM110,000, diikuti Terengganu RM20,000.

Artikel Berkaitan:

"Kompaun turut dikenakan di Pahang (RM7,250) Kelantan (RM6,000) dan Terengganu, RM2,000.

"PGA akan terus memperkukuh kerjasama antara agensi bagi membanteras kegiatan penjualan rokok elektronik yang menyalahi undang-undang kerana ia bukan sahaja melanggar peraturan, malah mengancam keselamatan dan kesihatan awam," katanya.

Sementara itu, Ahmad Radzi meminta orang ramai tampil menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penjualan vape haram di kawasan masing-masing.

Ujarnya, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan kesihatan rakyat terus terpelihara dan negara kekal aman serta sejahtera.

Ringkasan AI

  • Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am merampas pelbagai jenis rokok elektronik bernilai RM3.03 juta
  • Operasi serbuan serentak di negeri-negeri Pantai Timur melibatkan 18 premis diserbu
  • Seramai 18 lelaki ditahan bagi membantu siasatan
  • Operasi bersepadu melibatkan 157 pegawai dan anggota PGA, KKM, PBT dan LHDN
  • Tindakan denda dan kompaun dikenakan atas pelbagai kesalahan di bawah undang-undang berkaitan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!