Sindiket vape dadah tumpas, rampasan terbesar di Johor

Ab Rahaman (tengah) menunjukkan katrij vape mengandungi cecair dadah jenis ketamin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Ab Rahaman (tengah) menunjukkan katrij vape mengandungi cecair dadah jenis ketamin di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Polis Johor menumpaskan sindiket pengedaran cecair rokok elektronik yang mengandungi dadah terbesar di negeri ini bernilai hampir RM1juta hasil serbuan berasingan di Taman Mount Austin dan Taman Molek pada Khamis lalu.

Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, operasi hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor itu membawa kepada penahanan dua lelaki.

Katanya, suspek yang ditahan terdiri daripada seorang warga tempatan dan seorang warganegara Singapura, berusia antara 25 hingga 38 tahun.

"Serbuan pertama dilakukan kira-kira jam 1.35 pagi di hadapan sebuah bank di Taman Mount Austin, sebelum seorang lelaki tempatan berjaya ditahan.

“Hasil pemeriksaan lanjut membawa polis ke sebuah rumah di Taman Setia Indah yang dipercayai dijadikan stor penyimpanan dadah.

"Di lokasi itu, polis merampas 3,200 unit katrij vape disyaki mengandungi cecair dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 11.20 liter, bernilai RM960,000,” katanya.

Menurut beliau, turut dirampas ialah 48 paket serbuk ekstasi seberat 960 gram dengan nilai anggaran RM14,400.

Serbuan kedua pula dijalankan di Taman Molek, Johor Bahru, yang membawa kepada penahanan seorang lelaki warganegara Singapura.

Bagaimanapun, pemeriksaan ke atas suspek kedua tidak menemui sebarang dadah.

Artikel Berkaitan:

“Hasil siasatan mendapati suspek pertama berperanan sebagai pengedar, manakala suspek kedua merupakan ahli sindiket yang menguruskan kewangan, sekali gus membuktikan sindiket ini beroperasi secara terancang dan berskala besar,” katanya.

Jelas Ab Rahaman sindiket dipercayai aktif sejak Disember lalu dan menjadikan rumah sebagai stor sebelum mengedarkan dadah menggunakan ‘runner’ menerusi kaedah 'drop point' di lokasi tertentu.

"Jumlah dadah yang dirampas dianggarkan mampu merosakkan seramai 6,400 orang pengguna, sekali gus menjadikannya antara rampasan terbesar di Johor setakat ini, khususnya melibatkan dadah dalam bentuk vape.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika sabit kesalahan," katanya lagi.

Tambah beliau, ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang jenis dadah dan mereka kini direman selama tujuh hari, bermula 29 Januari hingga 4 Februari bagi membantu siasatan.

“Kesemua suspek juga didapati tidak mempunyai sebarang rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah,” katanya.

"Selain itu, tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988, melibatkan sitaan sebuah kereta Toyota Cross dan wang tunai RM136,850, menjadikan jumlah sitaan keseluruhan sebanyak RM216,850," ujarnya.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!