154 premis vape diserbu, rampasan cecah RM8.876 juta

KUALA LUMPUR – Sebanyak 154 premis yang menjalankan perniagaan rokok elektronik atau vape diserbu dalam Op E-Cig Mega yang dilaksanakan secara serentak di seluruh negara pada 10 Februari lalu, dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM8.876 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Datuk Fisol Salleh berkata, isu penjualan dan pengedaran vape merupakan masalah serius yang melibatkan kemasukan, pengilangan serta penjualan produk tanpa kelulusan dan lesen sah pihak berkuasa.
"Aktiviti ini bukan sahaja melanggar undang-undang sedia ada, malah mendatangkan ancaman kepada kesihatan awam, khususnya dalam kalangan remaja dan pelajar, selain menyebabkan kehilangan hasil cukai negara," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini pada Isnin.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Perkembangan Kesihatan Awam Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Zulhizzam Abdullah dan Ketua Pegawai Siasatan, Sektor Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Azhar Husin.
Fisol berkata, Op E-Cig Mega dilancarkan secara bersepadu di 13 negeri dengan sasaran 154 lokasi, melibatkan Sabah, Kuala Lumpur, Sarawak, Johor, Kedah, Perak, Pahang, Kelantan, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Nilai keseluruhan rampasan direkodkan sebanyak RM8.876 juta melibatkan cecair vape, peranti dan pelbagai barangan berkaitan.
"Dalam tempoh sama, keberhasilan hasil kerajaan direkodkan sebanyak RM330,200 antaranya pengeluaran saman oleh KKM," katanya.
Menurutnya, seramai 2,140 pegawai dan anggota polis termasuk KKM, LHDN, pihak berkuasa tempatan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup terlibat dalam operasi itu.
Beliau berkata, seramai 181 individu telah diperiksa dan empat daripadanya ditahan terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita, termasuk dua warga tempatan serta dua warga asing dari Indonesia dan Bangladesh atas pelbagai kesalahan.
"Kes disiasat mengikut beberapa peruntukan undang-undang termasuk Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024, Undang-Undang Kecil Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian, Akta Imigresen 1959/63, Akta Cukai Pendapatan 1967 serta Kanun Keseksaan.
"Operasi seumpama ini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi mengekang penjualan dan pengedaran rokok elektronik secara haram," ujarnya.
Ringkasan AI
- Serbuan Op E-Cig Mega pada 10 Februari menyasar 154 premis vape di seluruh negara dengan rampasan berjumlah RM8.876 juta
- Penjualan dan pengedaran vape tanpa kelulusan pihak berkuasa disifatkan sebagai ancaman kepada kesihatan awam dan kerugian hasil cukai
- Operasi serentak dijalankan di 13 negeri dengan keberhasilan hasil kerajaan direkodkan sebanyak RM330,200 termasuk pengeluaran saman oleh KKM
- Seramai 2,140 pegawai dan anggota dari pelbagai agensi termasuk polis, KKM, LHDN, dan pihak berkuasa lokal terlibat dalam operasi
- Empat individu ditahan termasuk dua warga tempatan dan dua warga asing dari Indonesia dan Bangladesh atas pelbagai kesalahan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
