‘Alhamdulillah, saya tidak menyesal dipecat’ – Wan Ahmad Fayhsal

Wan Ahmad Fayhsal mengulas pemecatannya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Wan Ahmad Fayhsal mengulas pemecatannya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM – “Alhamdulillah, saya tidak menyesal dan sama sekali kecewa menerima nasib dan keputusan dipecat sebegini. Terima kasih! Jalan terus!”

Demikian reaksi Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, selepas dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), yang menurutnya diterima dengan hati terbuka dan tanpa sebarang kekesalan.

Beliau menegaskan, pendiriannya menyokong Timbalan Presiden Bersatu, Hamzah Zainudin namun tidak lagi mempertahankan Presiden parti, Muhyiddin Yassin, dibuat berasaskan prinsip agama serta amanah kepimpinan yang dipikul.

“Keputusan ini bukan lahir daripada emosi, tetapi berpaksikan tuntutan agama serta amanah kepimpinan yang saya pikul,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini, bekas Ketua Armada Bersatu itu dipecat berkuat kuasa Jumaat selepas didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.

Wan Ahmad Fayhsal berkata, beliau telah menunaikan tanggungjawab menasihati dan menegur Muhyiddin secara tertutup dalam beberapa pertemuan peribadi sepanjang tempoh tiga tahun, namun mendakwa tiada perubahan ketara berlaku.

Lebih mengecewakan katanya, kepimpinan tertinggi parti dilihat tidak mengambil peduli terhadap sensitiviti pengundi Melayu-Islam yang jelas menolak pemimpin berakhlak buruk.

Menurut beliau, kegagalan menegakkan prinsip tersebut telah melemahkan kekuatan serta persiapan Perikatan Nasional (PN), khususnya jentera Parti Islam Se-Malaysia (Pas) yang menitikberatkan nilai agama dalam perjuangan politik.

Dari sudut kepimpinan, beliau turut mendakwa Muhyiddin bersikap lepas tangan dalam menguruskan parti sehingga banyak urusan digerakkan oleh Hamzah.

Artikel Berkaitan:

Beliau menegaskan bahawa kesetiaan kepada pemimpin mempunyai batas dan tidak boleh mengatasi prinsip agama serta integriti.

“Ketaatan kepada pemimpin tidak mutlak sekiranya pemimpin itu menyimpang daripada jalan yang benar.

“Dalam keadaan ini, mempertahankan seseorang pemimpin atas nama parti atau perlembagaan semata-mata tidak lagi wajib, malah boleh menjerumuskan kita kepada dosa kerana mendiamkan kemungkaran,” katanya.

Justeru, Wan Ahmad Fayhsal turut memohon maaf kepada Muhyiddin dan ahli-ahli Bersatu, namun menegaskan pendiriannya dibuat atas tanggungjawab terhadap agama, bangsa dan tanah air.

“Saya mohon maaf kepada ayahanda Tan Sri dan semua ahli Bersatu, namun ini bukan lagi sifat parti yang beramanah dan bermaruah.

“Segala yang dibina atas dasar perjuangan Islam dan integriti kini dikorbankan demi kerakusan kuasa serta keinginan mempertahankan individu yang telah hilang arah moral,” katanya.

Ringkasan AI

  • Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal menerima dengan hati terbuka keputusan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia
  • Beliau menyokong Timbalan Presiden Bersatu tetapi tidak mempertahankan Presiden parti kerana berpaksikan prinsip agama
  • Dipecat berkuat kuasa Jumaat kerana didakwa melanggar fasal perlembagaan parti
  • Menyatakan kekecewaan terhadap sikap kepimpinan parti yang tidak mengambil peduli terhadap sensitiviti pengundi Melayu-Islam
  • Mendakwa sikap Muhyiddin yang lepas tangan dalam menguruskan parti menyebabkan banyak urusan digerakkan oleh Timbalan Presiden, Hamzah Zainudin

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!