Bersatu Kelantan sebulat suara sokong Muhyiddin

KOTA BHARU – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kelantan sebulat suara menyatakan sokongan berterusan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti itu.
Pengerusi Bersatu Kelantan, Datuk Kamarudin Md Nor berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati mandat yang diperoleh Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) 2024/2025.
“Secara sebulat suara Bersatu Kelantan memutuskan untuk terus menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Presiden Bersatu sesuai dengan mandat yang diperolehi oleh beliau semasa perhimpunan agung tahunan lalu.
“Kami berpandangan bahawa tidak ada sebab untuk beliau diganggu-gugat kedudukannya sementara tempoh mandat beliau masih berjalan dan kami perlukan kestabilan dalam mempersiapkan parti di semua peringkat menghadapi pilihan raya yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri Konvensyen Bersatu Kelantan di Gelanggang Seni, di sini, pada Sabtu.
Sebelum Jumaat, Lembaga Disiplin Bersatu mengumumkan pemecatan 17 pemimpin parti itu termasuk Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad.
Menurut Kamarudin, kestabilan dalaman parti penting bagi memperkemas gerak kerja menjelang pilihan raya negeri Melaka dan Johor serta kemungkinan lain selepas ini.
Sementara itu, beliau mengakui terdapat segelintir pimpinan parti itu di Kelantan yang bertindak bertentangan dengan pendirian parti, namun perkara itu berada dalam pemantauan.
“Ada dalam radar kita, tapi tak ramai. Segelintir sahaja, cuba macam nyamuk, walaupun seekor dia bising,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan bahawa sebarang tindakan disiplin adalah di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin parti dan tidak wajar diganggu mana-mana pihak.
Ringkasan AI
- Bersatu Kelantan menyatakan sokongan berterusan kepada Muhyiddin Yassin sebagai Presiden parti
- Keputusan sokongan berdasarkan mandat perolehan Muhyiddin dalam Perhimpunan Agung Tahunan 2024/2025
- Sokongan demi kestabilan parti untuk persiapan menghadapi pilihan raya akan datang
- Pemecatan 17 pemimpin parti oleh Lembaga Disiplin Bersatu diumumkan sebelum Jumaat
- Kestabilan dalaman parti penting dalam persiapan untuk pilihan raya negeri Melaka dan Johor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

