19 MP Bersatu hadir Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Hamzah

Hamzah Zainuddin diiringi Ronald Kiandee (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Bersatu Sabah baru-baru ini.
Hamzah Zainuddin diiringi Ronald Kiandee (kiri) ketika mengadakan pertemuan dengan Bersatu Sabah baru-baru ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Seramai 19 Ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menghadiri Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin pada Ahad.

Wakil rakyat berkenaan terdiri daripada mereka yang tidak dipecat dan yang telah dipecat daripada parti tersebut.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee dalam ucapannya pada taklimat tersebut berkata, selain Ahli Parlimen, ia turut dihadiri oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ketua bahagian parti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Beluran turut mendakwa seramai 118 daripada 168 ketua bahagian serta sebahagian besar ADUN Bersatu menyokong bekas Timbalan Presiden itu.

“Sebagai penganjur, kita ada 19 Ahli Parlimen bersama pada petang ini. Mereka ialah Ahli Parlimen Kangar, Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Ketereh, Tanah Merah dan Machang.

"Selain itu, Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Tasek Gelugor, Gerik, Padang Rengas, Lumut, Indera Mahkota, Rompin, Sabak Bernam, Sungai Besar, Masjid Tanah, Mersing dan Larut.

"Kita tidak perlu kalkulator untuk mengenal pasti berapa ramai ketua bahagian yang menyokong Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Tidak sampai satu pertiga pun yang menyokong kuat Muhyiddin,” sindirnya.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azlim Ali pada Jumaat memberi peringatan kepada semua ahli parti itu supaya tidak terbabit dalam sebarang bentuk perjumpaan dan perhimpunan yang dianjurkan oleh individu yang dipecat oleh Lembaga Disiplin.

Jelasnya, menjadi satu kesalahan bagi mana-mana ahli bersekongkol dengan individu atau pihak yang bertindak bertentangan dengan Perlembagaan parti serta mengeluarkan kata-kata kesat yang mencemarkan nama baik dan maruah parti, sekali gus boleh dikenakan tindakan disiplin.

Artikel Berkaitan:

Ringkasan AI

  • Seramai 19 Ahli Parlimen Bersatu hadir dalam Taklimat Hala Tuju dan Reset Politik bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin
  • Wakil rakyat yang hadir termasuk yang tidak dan sudah dipecat dari parti
  • Taklimat turut dihadiri oleh beberapa ADUN dan ketua bahagian parti
  • Sebanyak 118 dari 168 ketua bahagian dan sebahagian besar ADUN Bersatu menyokong bekas Timbalan Presiden
  • Setiausaha Agung Bersatu memberi peringatan kepada ahli agar tidak terlibat dalam perjumpaan yang bertentangan dengan Perlembagaan parti

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!