Isu saham: USJT Bukit Aman siasat kes fitnah terhadap Azam Baki

KUALA LUMPUR - Kes fitnah membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki akan dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman, Bahagian Pendakwaan Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.
Perkara terbabit disahkan Pengarah JSJ Bukit Aman, Datuk M Kumar selepas pihaknya menerima laporan polis hari ini berhubung pemilikan saham Azam dalam sebuah syarikat yang didakwa oleh sebuah media antarabangsa.
Beliau berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung penyiaran artikel yang diterbitkan pada 10 Februari lepas oleh media antarabangsa itu disyaki mengandungi kenyataan fitnah terhadap Azam.
"Siasatan dijalankan di bawah peruntukan kesalahan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan, iaitu memfitnah dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kumar berkata, siasatan masih diteruskan dan masyarakat diingatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kes terbabit sementara polis melengkapkan siasatan demi menghormati prinsip keadilan jenayah di negara ini.
Pada Rabu lepas, Azam menjelaskan beliau tidak lagi memiliki sebarang saham di mana-mana syarikat dan semua urus niaga saham sebelum ini dijalankan dengan telus dan mematuhi sepenuhnya peraturan kerajaan, sambil menambah bahawa akaun dagangannya kini kosong dan boleh disahkan dengan Bursa Malaysia.
Semalam, Azam memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg baru-baru ini, yang disifatkannya sebagai mengelirukan, berunsur fitnah dan menjejaskan reputasi beliau serta integriti suruhanjaya berkenaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Kes fitnah membabitkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki akan disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas Bukit Aman
- Pengarah JSJ Bukit Aman mengesahkan pihaknya menerima laporan polis berhubung pemilikan saham Azam
- Siasatan berkenaan artikel media antarabangsa yang disyaki mengandungi kenyataan fitnah
- Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998
- Azam menafikan memiliki saham dan memulakan tindakan undang-undang terhadap laporan Bloomberg
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
