Pembangkang pantau Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham Azam Baki

KOTA BHARU - Pembangkang akan terus memantau perjalanan Jawatankuasa Khas Siasatan yang ditubuhkan bagi menyiasat isu pemilikan saham membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Timbalan Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, Jawatankuasa Khas Siasatan yang diketuai Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar itu adalah keputusan yang dibuat oleh Kabinet.
“Kami akan melihat apa yang dilakukan jawatankuasa berkenaan dan sejauh mana fungsi penubuhan jawatankuasa terbabit selain tempoh yang diambil untuk siasatan,” katanya selepas merasmikan Klinik Hayat 24 Jam Cherang di sini pada Sabtu.
Sebelum ini, media melaporkan Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar akan mengetuai Jawatankuasa Khas Siasatan bagi meneliti isu pemilikan saham yang dikaitkan dengan Azam Baki.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dilaporkan berkata, jawatankuasa itu turut dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz serta Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican.
Mengulas lanjut, Takiyuddin berharap jawatankuasa yang ditubuhkan itu dapat menyelesaikan isu berkenaan.
“Diharapkan jawatankuasa itu dapat menyelesaikan kekeliruan yang berlaku dan jika dakwaan tersebut tidak benar, ia perlu dibuktikan tidak benar serta sekiranya benar, ia perlu disahkan,” katanya.
Ringkasan AI
- Pembangkang akan terus memantau Jawatankuasa Khas Siasatan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM
- Penubuhan Jawatankuasa Khas Siasatan diputuskan oleh Kabinet dan diketuai oleh Peguam Negara
- Jawatankuasa ini dianggotai Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan
- Jawatankuasa bertujuan menyelesaikan kekeliruan tentang dakwaan terhadap Azam Baki
- Diharapkan jawatankuasa dapat membuktikan dakwaan itu benar atau tidak
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

