Jenayah pecah kediaman diberi perhatian, orang ramai diminta salur maklumat

KAJANG - Jenayah pecah kediaman antara yang diberi perhatian polis pada musim perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, pihaknya telah menggerakkan seramai 3,100 anggota bagi menjalankan operasi pencegahan jenayah secara menyeluruh.
Menurutnya, kehadiran polis di kawasan perumahan akan dipertingkatkan bagi memastikan keselamatan harta benda penduduk sentiasa terpelihara.
"Antara kes jenayah yang berlaku pada musim perayaan ialah pecah rumah. Kita akan meningkatkan rondaan bagi membendung sebarang kes jenayah.
"Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang kegiatan mencurigakan membabitkan kes jenayah untuk tindakan segera di lokasi kejadian.
"Orang ramai boleh menyalurkan maklumat jenayah, aduan atau memaklumkan pergerakan balik kampung melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP), mengisi borang di balai polis berhampiran atau menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD)," katanya selepas Program Walkabout Langkah Selamat Santuni Komuniti Kajang di MRT Stadium Kajang di sini pada Sabtu.
Beliau berkata, aplikasi VSP dan kemudahan tersebut membolehkan masyarakat menikmati cuti perayaan dengan lebih tenang dan selamat tanpa rasa khuatir untuk meninggalkan kediaman masing-masing.
Tambahnya, masyarakat diminta berwaspada dengan mengunci rumah dan kenderaan selain mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara terbuka.
Mengulas majlis walkabout di sekitar Kajang yang dilaksanakan dengan kerjasama Kumpulan Prasarana Malaysia Berhad, Shazeli berkata, ia sebagai langkah memperkukuh hubungan antara pasukan keselamatan dan masyarakat.
Jelasnya, program itu menjadi platform komunikasi dua hala yang komprehensif serta digunakan untuk memperoleh pandangan dan maklumat berkaitan aspek keselamatan serta ketenteraman awam.
"Polis Selangor kekal komited dalam menjamin keselamatan dan kesejahteraan masyarakat melalui pengukuhan strategi pencegahan jenayah serta jalinan kerjasama bersama komuniti," ujarnya.
Ringkasan AI
- Jenayah pecah kediaman antara yang diberi perhatian polis pada musim perayaan Tahun Baharu Cina
- Seramai 3,100 anggota polis digerakkan untuk operasi pencegahan jenayah
- Kehadiran polis di kawasan perumahan akan dipertingkatkan untuk memastikan keselamatan harta benda
- Polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat jenayah melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau menghubungi polis
- Masyarakat diminta berwaspada dengan mengunci rumah dan kenderaan serta mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara terbuka
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
