12 kawasan penagihan, pengedaran dadah di Pahang capai status hijau

Wan Rosdy bergambar bersama penerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang 2025 di Kuantan pada Khamis.
Wan Rosdy bergambar bersama penerima anugerah dalam Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang 2025 di Kuantan pada Khamis.
A
A
A

KUANTAN –Sebanyak 12 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) dikenal pasti sebagai zon masalah penagihan dan pengedaran dadah di Pahang kini telah mencapai status hijau.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pencapaian itu menjadikan Pahang mencapai pengurangan 100 peratus KBT, hasil pelaksanaan berterusan program pengurangan kawasan berisiko tinggi di bawah misi Dadah Terkawal 2025.

"Antara mukim yang berjaya diturunkan status Kawasan Berisiko Rendah (KBR) ialah Mukim Gali, Batu Talam, Dong dan Sega di Raub.

"Mukim Pekan, membabitkan Kuala Pahang dan Pahang Tua di Pekan; Mukim Perak dan Mentakab di Temerloh; Mukim Chenor (Jengka/Sentul) dan Chenor (Jengka/Bandar) di Maran serta Mukim Kuala Kuantan di Kuantan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi Bintang Antidadah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Pahang Tahun 2025 di sebuah hotel di sini pada Khamis.

Hadir sama, Ketua Pengarah AADK Datuk Ruslin Jusoh dan Pengarah AADK Pahang, Zirwatul Ahlam Zamzam.

Wan Rosdy menegaskan, sepanjang tempoh lima tahun lalu, Kerajaan Pahang telah memberikan sokongan berterusan melalui pelaksanaan Pelan Strategik Pahang Teguh Dadah Terkawal (PTDT) 2021–2025.

Jelas beliau, pelaksanaan pelan tersebut turut diperkukuh menerusi Majlis Tindakan Membanteras Dadah (MTMD) di peringkat daerah dan negeri.

"Keberhasilan ini lahir daripada intervensi menyeluruh meliputi pendidikan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan yang dilakukan secara bersepadu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Wan Rosdy mengingatkan semua pihak agar tidak bersikap selesa dengan pencapaian tersebut kerana perjuangan membanteras dadah adalah amanah berterusan.

"Kita tidak boleh bersikap selesa, apatah lagi alpa. Setiap kelekaan memberi ruang kepada musuh negara ini untuk merosakkan masa depan anak bangsa.

"Saya tidak mahu usaha yang telah berjaya hari ini tergelincir akibat sikap sambil lewa atau kurang iltizam," tegas beliau lagi.

Wan Rosdy menyampai anugerah dan sijil kepada salah seorang penerima dalam Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang 2025 di Kuantan pada Khamis.
Wan Rosdy menyampai anugerah dan sijil kepada salah seorang penerima dalam Majlis Apresiasi Bintang Antidadah AADK Negeri Pahang 2025 di Kuantan pada Khamis.

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, Program Jelajah Pahang Teguh Dadah Terkawal 2025 yang dilaksanakan di seluruh daerah mencerminkan keprihatinan mendalam Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah terhadap isu penyalahgunaan dadah, khususnya di kawasan Felda.

Beliau memberitahu, berdasarkan rekod MyAADK hingga Disember 2025, Pahang mencatatkan seramai 3,706 penagih dengan 1,216 orang atau 32.81 peratus daripadanya dikesan melibatkan kawasan tanah rancangan tersebut.

"Angka ini menuntut tindakan yang lebih tegas, menyeluruh dan berterusan.

"Kebawah Duli Paduka Baginda Tuanku turut menegaskan bahawa pembentukan jati diri serta pengukuhan nilai agama dalam kalangan anak muda adalah benteng utama dalam menolak pengaruh negatif dadah," ujar beliau lagi.

Dalam majlis yang sama, Wan Rosdy memaklumkan akan terus menyalurkan sokongan kewangan, logistik dan kerjasama strategik bagi memperkasa inisiatif AADK ke arah merealisasikan misi Dadah Terkawal 2030.

Menurut beliau, sasaran lima tahun akan datang adalah memastikan kadar penagihan tidak melebihi 700 orang bagi setiap 100,000 penduduk.

"Langkah ini diperkukuhkan lagi dengan penyaluran peruntukan berjumlah RM300,000 kepada tiga organisasi utama iaitu Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM), Persatuan Pengasih Malaysia (PENGASIH) dan kepada Drug Intervention Community (DIC) sebagai usaha pencegahan penyalahgunaan dadah di negeri ini.

"Saya yakin, dengan sinergi semua pihak, insya-ALLAH keselamatan masyarakat dan kesejahteraan negeri dapat terus dipelihara," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!