PATI bertempiaran lari, kawasan berniaga digempur

Antara warga asing yang ditahan di sekitar Kepong bagi proses dokumentasi.
Antara warga asing yang ditahan di sekitar Kepong bagi proses dokumentasi.
A
A
A

KEPONG – ‘Kerancakan’ pendatang asing tanpa izin (PATI) berkeliaran serta menjalankan aktiviti perniagaan di sekitar Taman Wangsa Permai dan Desa Aman Puri di sini dikejutkan dengan serbuan pihak berkuasa pada Khamis.

Serbuan itu diketuai oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Selangor dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) termasuk elemen Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) serta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dua lokasi berkenaan merupakan kawasan rumah kedai yang aktif dengan pelbagai aktiviti perniagaan termasuk premis gunting rambut, kedai runcit, kedai makan dan pusat cucian kenderaan.

Bahagian atas rumah kedai pula dijadikan tempat tinggal oleh pekerja asing.

Semasa serbuan yang bermula pada pukul 8.30 malam, warga asing yang menyedari kehadiran pasukan operasi bertindak melarikan diri, namun tindakan itu digagalkan apabila kawasan tersebut telah dikepung dengan kawalan ketat.

Khairrul Aminus (kanan) memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan Op Sapu di sekitar Kepong pada Khamis.
Khairrul Aminus (kanan) memeriksa dokumen warga asing dalam serbuan Op Sapu di sekitar Kepong pada Khamis.

Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin berkata, Op Sapu itu berjaya menahan seramai 146 orang disyaki PATI, termasuk 32 wanita, dua kanak-kanak lelaki dan dua kanak-kanak perempuan.

Menurutnya, berdasarkan pecahan kewarganegaraan, tangkapan melibatkan warga Indonesia (16 orang), Myanmar (64), Bangladesh (30), India (14), Pakistan (9), Nepal (5), Thailand (3), Sri Lanka (2), China (2) dan Nigeria (1).

Artikel Berkaitan:

"Kesemua tangkapan ini adalah hasil pemeriksaan terhadap 237 warga asing.

"Hasilnya, serbuan di Taman Wangsa Permai berjaya menahan 68 PATI, manakala serbuan di Desa Aman Puri menahan 78 PATI," katanya dalam sidang akhbar di lokasi serbuan pada Khamis.

Beliau berkata, antara kesalahan warga asing yang dikenal pasti ialah tinggal lebih masa, tiada dokumen pengenalan diri serta menggunakan kad pengenalan yang tidak diiktiraf.

Tambahnya, kesemua yang ditahan berusia antara enam hingga 55 tahun dan telah ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk tindakan reman dan siasatan lanjut.

"Operasi ini akan diteruskan bagi mengesan warga asing yang melanggar peraturan imigresen.

"Jangan lindungi PATI dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menyalurkannya kepada pihak imigresen untuk tindakan lanjut," ujarnya.

Ringkasan AI

  • Serbuan pihak berkuasa di Taman Wangsa Permai dan Desa Aman Puri mengejutkan PATI yang berkeliaran dan berusaha melarikan diri
  • Serbuan diketuai Jabatan Imigresen Malaysia dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia dan agensi lain
  • Lokasi serbuan merupakan kawasan rumah kedai dengan aktiviti perniagaan seperti gunting rambut dan kedai makan
  • Serbuan menjaringkan 146 orang disyaki PATI dari pelbagai negara termasuk Indonesia, Myanmar dan Bangladesh
  • Operasi ini bertujuan untuk mengesan warga asing yang melanggar peraturan imigresen dan akan diteruskan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!