Calon SPM tiada lesen, tunggang motosikal diubah suai secara ekstrem

MELAKA – Seorang remaja lelaki sanggup membahayakan keselamatan diri apabila melakukan ubah suai secara ekstrem terhadap motosikalnya, termasuk tidak memasang brek kaki serta menggunakan tayar yang sudah botak.
Remaja berusia 17 tahun itu turut didapati tidak memiliki lesen memandu, menggunakan ekzos jenis ‘perang’, motosikal tidak dipasang cermin sisi serta tiada nombor pendaftaran di bahagian depan dan belakang.
Kesalahan tersebut dikesan dalam Operasi Khas Bersepadu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Melaka bersama beberapa agensi penguat kuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
Remaja yang merupakan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) itu memberi alasan bahawa nombor pendaftaran motosikalnya pecah akibat kemalangan dan masih belum sempat digantikan.
Menurutnya, motosikal tersebut dibeli daripada kakaknya dengan harga RM4,000 hasil pendapatan bekerja membantu bapanya yang menjalankan perniagaan emas.
Remaja berkenaan menjelaskan motosikal itu digunakan untuk kegunaan harian, namun bukan untuk ke sekolah kerana dia menaiki bas. Ketika operasi dijalankan, dia mendakwa hanya keluar untuk mengisi petrol dan membeli makan malam di kedai berhampiran sebelum ditahan untuk pemeriksaan.
Pengarah JPJ Melaka, Siti Zarina Mohd Yusop berkata, motosikal terbabit telah disita dan empat notis kesalahan bernilai RM1,200 telah dikeluarkan terhadap remaja berkenaan atas pelbagai kesalahan teknikal dan kerana tidak memiliki lesen memandu.

“Remaja ini dikesan melakukan pengubahsuaian kenderaan secara ekstrem sehingga motosikal itu tidak selamat untuk ditunggang.
“JAS turut mengeluarkan kompaun terhadap pelajar tersebut atas kesalahan bunyi ekzos melebihi had yang ditetapkan,” katanya.
Menurut Siti Zarina, sebanyak 395 kenderaan telah diperiksa sepanjang operasi berkenaan, dan 120 daripadanya dikesan melakukan pelbagai kesalahan.
“Lima kenderaan disita, melibatkan empat motosikal dan sebuah kereta atas pelbagai kesalahan, termasuk Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh serta tiada perlindungan insurans.
“Selain itu, sebanyak 244 notis telah dikeluarkan sepanjang operasi, dengan Notis JPJ P22 mencatatkan jumlah tertinggi iaitu 210 notis, melibatkan 186 penunggang motosikal dan 24 kenderaan lain,” ujarnya.
Tambah beliau, Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (PG1) dan Notis Arah Periksa Seksyen 61(1) masing-masing mencatatkan 14 dan 17 notis, manakala kesalahan berkaitan LKM dan insurans tamat tempoh mencatatkan 86 kes.
Dalam operasi sama, AADK mengesan dua individu positif dadah daripada 14 individu yang diperiksa, manakala JAS memeriksa enam kenderaan dan mengeluarkan tiga kompaun atas kesalahan bunyi tidak mengikut standard.
Siti Zarina turut mengingatkan semua pengguna jalan raya agar sentiasa mematuhi undang-undang lalu lintas bagi mengelakkan tindakan penguatkuasaan serta mengurangkan risiko kemalangan.
Ringkasan AI
- Remaja 17 tahun melakukan ubah suai ekstrem pada motosikal termasuk tiada brek kaki dan tayar botak
- Tidak memiliki lesen memandu dan menggunakan ekzos jenis 'perang' tanpa cermin sisi dan nombor pendaftaran
- Ditahan dalam Operasi Khas Bersepadu JPJ Melaka bersama PDRM, JAS dan AADK
- Motosikal disita dan dikenakan empat notis kesalahan bernilai RM1,200
- Sebanyak 395 kenderaan diperiksa, 120 melakukan pelbagai kesalahan dan lima kenderaan disita dalam operasi tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

