Pecat betul-betul, jangan jadi pondan – Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar kepimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) supaya membuat keputusan segera sekiranya mahu memecat Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau yang digantung keahlian Bersatu selama sepenggal itu berkata, kepimpinan parti tidak perlu berdrama di media, sebaliknya perlu bertindak seperti 'anak jantan' sekiranya mahu mengambil tindakan terhadap Ahli Parlimen Larut itu.
"Tiga tahun lamanya bacul kamu menunggu nak pecat Datuk Seri Hamzah Zainudin. Nak pecat, pecat betul-betul. Jangan baling batu sembunyi tangan macam pondan.
"Kalau ini harga yang kami perlu bayar dalam melakukan amar ma’ruf nahi mungkar demi menyelamatkan rukun perjuangan Agama, Bangsa dan Tanah Air (ABATA) dalam Bersatu dan PN (Perikatan Nasional), Ahlan wa Sahlan, silakan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Isnin.
Dalam pada itu Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin kini hanya mendengar pihak-pihak yang dianggap sebagai 'kaki ampu, kaki bodek, kaki jilat’.
"Mana pergi Maruah? Mana ada maruah kalau dah kena pegang dengan puak Madani," dakwanya.
Sebelum ini desas-desus Hamzah yang juga Ketua Pembangkang bakal dipecat dari Bersatu semakin kuat apabila beliau akan dipanggil menghadap Lembaga Disiplin bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pembabitannya dalam kekecohan Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) dan serangan terhadap Muhyiddin.
Beliau dijadualkan untuk memberi keterangan pada 12 tengah hari, Khamis ini di Ibu Pejabat Bersatu.
Ringkasan AI
- Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal mencabar kepimpinan Bersatu memecat Datuk Seri Hamzah Zainudin
- Wan Ahmad Fayhsal digantung keahlian Bersatu selama sepenggal
- Mengkritik kepimpinan partinya kerana berdrama di media dan meminta tindakan tegas
- Mendakwa Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mendengar kaki ampu
- Desas-desus pemecatan Hamzah Zainudin semakin kuat menyusul akan dipanggil Lembaga Disiplin Bersatu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

