Kempen Ramadan Raya 2026 Bank Rakyat: Peluang miliki kereta impian bernilai RM200,000

PELANGGAN Bank Rakyat berpeluang memenangi hadiah dan ganjaran keseluruhan bernilai lebih RM300,000 termasuk hadiah utama kereta bernilai sehingga RM200,000, yang mana pemenang diberi kebebasan untuk memilih sendiri kereta impian mereka.
Kempen tersebut bersempena Kempen Ramadan Raya 2026 bertemakan Suara Hati sempena menjelangnya sambutan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.
Ketua Pegawai Kewangan Bank Rakyat, Nor Haimee Zakaria berkata, tawaran berkenaan sebagai satu pendekatan yang jarang diperkenalkan dan mencerminkan usaha Bank Rakyat untuk menawarkan sesuatu yang berbeza dan lebih bermakna.
Menurutnya, Bank Rakyat menjadikan harapan, keperluan dan aspirasi pelanggan serta masyarakat sebagai agenda dan fokus utama dalam setiap inisiatif yang dilaksanakan.
"Dalam realiti kehidupan hari ini, Bank Rakyat memahami bahawa masyarakat bukan sekadar mencari kemudahan dan kestabilan kewangan, tetapi mereka juga ingin didengari dan merasai erti kebersamaan.

"Berpaksikan nilai-nilai inilah, Bank Rakyat memperkenalkan Kempen Ramadan Raya 2026 bertemakan Suara Hati," katanya sempena Majlis Pelancaran Kempen Ramadan Raya 2026, di sini, pada Rabu.
Kempen Suara Hati akan berlangsung dari 19 Februari hingga 30 April 2026 terbuka untuk pelanggan yang melanggan produk Pembiayaan Peribadi-i, Kenderaan-i, Perumahan-i dan Pajak Gadai-i.
Selain itu, pelanggan turut berpeluang memenangi hadiah berupa 50 gram, 30 gram dan 20 gram emas dengan nilai anggaran keseluruhan RM70,000, pakej peralatan elektrik rumah bernilai keseluruhan RM10,000 serta hadiah sagu hati wang tunai kepada 65 orang pelanggan yang akan dikreditkan ke Akaun Pelaburan-i Rizq Plus.
Nor Haimee menambah, pelbagai rebat turut ditawarkan melalui Kad Kredit-i Bank Rakyat, termasuk rebat petrol 5 peratus, rebat runcit 3 peratus, rebat pembelian emas 1 peratus serta rebat pembelian pakaian sehingga 5 peratus bagi membantu pelanggan mengurus keperluan harian sepanjang Ramadan dan Hari Raya Aidifitri.
Katanya, selari dengan konsep Suara Hati, Bank Rakyat turut memperluaskan impak kempen ini melalui pelbagai inisiatif Jangkauan Komuniti sepanjang Ramadan dan Syawal.
Antaranya termasuk Program Kampung Angkat Madani di Permatang Ara, Pulau Pinang dan Program Kampung Kita di Kampung Kong Kong Laut, Johor, yang melibatkan aktiviti gotong-royong, agihan bubur lambuk serta bantuan kewangan bernilai keseluruhan RM60,000 kepada keluarga asnaf, selain pengisian Ramadan seperti program tazkirah, berbuka puasa dan solat berjemaah bersama komuniti setempat.
Menerusi Program Imarah Ramadan, Bank Rakyat akan menyantuni seramai 2,000 penerima daripada keluarga asnaf di seluruh negara dengan sumbangan bakul makanan asas dengan jumlah keseluruhan RM200,000.
Manakala inisiatif Sumbangan Kelengkapan Raya pula memberi tumpuan kepada kebajikan lebih 32 anak yatim dan asnaf daripada Pusat Jagaan Kasih Murni, Taman Keramat, Kuala Lumpur, agar mereka dapat menyambut Syawal dengan ceria seperti anak-anak lain.
“Melalui kesemua inisiatif ini, Bank Rakyat berharap agar keberkatan Ramadan dan Syawal dapat dikongsi bersama dan tiada komuniti yang rasa terpinggir, terutamanya golongan yang memerlukan.
"Suara Hati mengajar Bank Rakyat untuk memahami bukan sahaja apa yang pelanggan perlukan, tetapi juga mengapa mereka memerlukannya, dengan mendengar apa yang tersirat, bukan sekadar yang dizahirkan,” katanya.
Untuk maklumat lanjut mengenai Kempen Suara Hati Bank Rakyat, orang ramai boleh melayari laman web rasmi www.bankrakyat.com.my dan platform media sosial rasmi @myBankRakyat.
Ringkasan AI
- Pelanggan Bank Rakyat berpeluang memenangi hadiah termasuk kereta sehingga RM200,000
- Kempen Ramadan Raya bertemakan Suara Hati
- Hadiah lain termasuk emas dan peralatan elektrik dengan nilai keseluruhan lebih RM300,000
- Pelbagai rebat ditawarkan melalui Kad Kredit-i Bank Rakyat untuk Ramadan dan Syawal
- Bank Rakyat melaksanakan inisiatif komuniti termasuk bantuan kepada keluarga asnaf dan anak yatim
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
