Ikut undang-undang, bukan bertindak sendiri - Peguam

SHAH ALAM - Isu pencerobohan binaan yang didakwa didirikan tanpa kebenaran di atas tanah milik pihak lain perlu ditangani mengikut saluran undang-undang yang betul dan bukannya melalui tindakan sendiri.
Peguam, Muhammad Akram Abdul Aziz berkata, dari sudut undang-undang, isu utama dalam situasi berkenaan bukan hanya mengenai sama ada sesuatu binaan didirikan di atas tanah milik pihak lain atau tanpa kebenaran, tetapi kaedah dan proses tindakan yang diambil terhadap binaan tersebut.
“Adalah difahami bahawa tuan tanah yang mendapati hartanah mereka diduduki atau dibangunkan tanpa kebenaran boleh berasa tertekan dan teraniaya terutamanya jika keadaan itu berlarutan atau menjejaskan hak penggunaan tanah mereka.
“Pada masa sama, amalan membina apa-apa struktur termasuk rumah ibadat di atas tanah milik pihak lain tanpa kebenaran atau tanpa kelulusan pihak berkuasa adalah suatu keadaan yang tidak wajar dan tidak sepatutnya dinormalisasikan dalam masyarakat yang berteraskan kedaulatan undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, bagaimanapun undang-undang di Malaysia secara prinsipnya tidak membenarkan mana-mana pihak termasuk pemilik tanah sendiri untuk mengambil tindakan secara unilateral atau 'self-help' dengan merobohkan binaan tanpa melalui proses undang-undang yang sah.
Muhammad Akram berkata, sekiranya benar sesuatu struktur itu didirikan secara tidak sah, saluran yang betul ialah melalui pihak berkuasa tempatan (PBT), permohonan tindakan penguatkuasaan atau mendapatkan perintah mahkamah.
“Pendekatan ini bukan bertujuan menafikan hak pemilik tanah tetapi untuk memastikan bahawa sebarang tindakan diambil secara teratur, adil dan tidak menimbulkan risiko keselamatan atau gangguan ketenteraman awam.
“Dalam konteks ini, penahanan oleh pihak polis boleh difahami sebagai sebahagian daripada proses siasatan bagi menentukan fakta dan keadaan sebenar kejadian, tanpa menjejaskan hak individu yang terlibat untuk membela diri mereka di mahkamah.
“Soal berlaku kesalahan jenayah atau sebaliknya hanya boleh diputuskan melalui proses undang-undang yang sewajarnya,” jelasnya.
Ujarnya, kes-kes yang melibatkan struktur keagamaan atau tempat ibadat perlu ditangani dengan penuh kepekaan kerana ia menyentuh sensitiviti masyarakat.
“Pematuhan kepada saluran undang-undang yang betul adalah penting bukan sahaja untuk melindungi hak tuan tanah tetapi juga bagi memastikan keharmonian awam dan prinsip kedaulatan undang-undang terus terpelihara,” ujarnya.
Media pada Rabu melaporkan, empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan kes pencerobohan sebuah kuil di Rawang.
Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, penahanan itu dilakukan susulan aduan seorang lelaki tempatan berhubung kejadian meroboh kuil yang dibina tidak mengikut peraturan di kawasan berkenaan.
Ringkasan AI
- Isu pencerobohan binaan tanpa kebenaran perlu ditangani secara undang-undang
- Pemilik tanah tidak dibenarkan merobohkan struktur secara sendirian tanpa proses undang-undang
- Saluran betul menangani isu adalah melalui pihak berkuasa tempatan atau mahkamah
- Pendekatan undang-undang memastikan tindakan yang adil dan tidak mengganggu ketenteraman awam
- Kes yang melibatkan struktur keagamaan perlu ditangani dengan sensitiviti untuk memelihara kedaulatan undang-undang dan keharmonian awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
