Saifuddin rasmi pejabat baharu MCPF Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR - Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail merasmikan pembukaan pejabat baharu Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) di Taman Ikan Emas, Cheras pada Rabu.
Beliau juga menyarankan MCPF supaya terus memainkan peranan sebagai platform kolaborasi strategik antara kerajaan, pihak berkuasa keselamatan (PBT), sektor swasta dan komuniti dalam membantu membendung jenayah.
Pengerusi MCPF Kuala Lumpur, Datuk Azman Abidin berkata, pembukaan pejabat baharu sempena tahun ke-33 penubuhan menjadi simbol komitmen berterusan pihaknya dalam memperkukuh jaringan keselamatan komuniti serta mempertingkat penyelarasan program pencegahan jenayah di ibu negara.
"MCPF komited menjadi peneraju agenda pencegahan jenayah melalui kerjasama strategik pelbagai pihak, memperkasakan komuniti dengan pendidikan, latihan serta program kesedaran jenayah.
"Selain itu, MCPF turut menjalin kerjasama erat dengan sektor awam dan swasta bagi memastikan matlamat mewujudkan keselamatan serta keharmonian masyarakat dapat dicapai, khususnya di Wilayah Persekutuan, katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Hadir sama, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri TPr Fadlun Mak Ujud; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus serta wakil agensi kerajaan dan rakan strategik.
Pejabat MCPF Kuala Lumpur yang dirasmi juga merupakan hasil kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Untuk rekod, MCPF Kuala Lumpur berjaya melaksanakan 84 program pencegahan jenayah sepanjang 2025.
Justeru, Azman berharap agar perasmian pejabat baharu tersebut mampu menjadi pemangkin kepada pelaksanaan lebih banyak inisiatif kesedaran dan intervensi awal untuk menurunkan kadar jenayah.
"Dalam masa sama, dapat meningkatkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat," ujarnya.
Ringkasan AI
- Menteri Dalam Negeri merasmikan pembukaan pejabat baru Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia di Cheras
- Yayasan itu diharapkan terus memainkan peranan kolaborasi strategik dalam membendung jenayah
- Pembukaan pejabat baru merupakan simbol komitmen MCPF mempertingkat penyelarasan program pencegahan jenayah
- MCPF komited menjalin kerjasama erat dengan sektor awam dan swasta untuk mewujudkan keselamatan masyarakat
- Pejabat MCPF Kuala Lumpur merupakan hasil kerjasama erat dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

