Isu saham Azam Baki: Beban ke atas pihak buat tuduhan untuk kemuka bukti - Saifuddin

PUTRAJAYA - "Pihak yang membuat tuduhan terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu mengemukakan bukti terlebih dahulu".
Demikian kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, mengulas gesaan supaya kerajaan menjalankan siasatan bebas berhubung dakwaan Azam Baki memiliki saham dalam beberapa syarikat.
"Seperti yang disebut oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kita biarkan proses undang-undang berjalan. Sekarang ini, beban ke atas pihak yang membuat tuduhan untuk mengemukakan bukti.
"Ketika ini, saya belum dimaklumkan lagi tentang sebarang laporan polis dibuat berkait Azam Baki," ujar Saifuddin dalam sidang media selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan KDN di sini pada Khamis.
Sebelum ini, media antarabangsa, Bloomberg melaporkan Azam didakwa memiliki 17.7 juta saham Velocity, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia.
Ia berdasarkan pemfailan tahunan oleh syarikat berkenaan kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin lalu.
Azam dalam satu sidang media pada Rabu menegaskan beliau sudah melupuskan semua sahamnya dan kini tidak mempunyai sebarang pemilikan saham dalam mana-mana syarikat.
Menurut Azam, beliau membeli saham Velocity tersebut pada awal 2025, dan kemudian melupuskan keseluruhan pegangan itu pada Julai 2025 tanpa mendapat sebarang keuntungan daripada urus niaga tersebut. - Awani
Ringkasan AI
- Pihak yang tuduh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki perlu buktikan dakwaan mereka
- Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, menyatakan harus ada bukti sebelum kerajaan lakukan siasatan
- Perdana Menteri Anwar Ibrahim percaya proses undang-undang perlu diutamakan
- Azam Baki dituduh memiliki 17.7 juta saham syarikat Velocity, bernilai hampir RM800,000
- Azam Baki mengaku sudah jual semua saham dan tidak memiliki sebarang saham sekarang
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
