DAP desak Azam Baki disiasat secara bebas

SHAH ALAM – DAP mendesak kerajaan segera melakukan siasatan bebas terhadap Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki susulan pendedahan pemilikan saham beliau dalam beberapa syarikat.
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP, Ramkarpal Singh berkata, siasatan perlu dilakukan pihak ketiga yang bebas kerana prinsip keadilan menetapkan Azam tidak boleh menjadi hakim kepada kesnya sendiri.
Katanya, isu itu melangkaui soal pengisytiharan aset semata-mata dan menyentuh teras integriti serta ketelusan SPRM.
“Walaupun Azam menafikan sebarang salah laku berhubung sahamnya dalam Velocity Capital Partner Bhd (Velocity) dan menegaskan bahawa beliau telah mengisytiharkan saham tersebut dengan sewajarnya dalam syarikat itu, beliau masih belum mengulas mengenai dakwaan pemilikan sahamnya dalam Awanbiru Technology Bhd (Awanbiru).
“Tidak syak lagi bahawa kedua-dua perkara ini mesti disiasat lanjut oleh pihak ketiga yang bebas kerana jelas bahawa Azam tidak boleh menjadi hakim dalam kesnya sendiri,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, media melaporkan Azam turut memiliki pegangan dalam Awanbiru berdasarkan rekod Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sekali gus mencetuskan persoalan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan had ekuiti penjawat awam.
Sebelum itu media antarabangsa, Bloomberg mendedahkan, Azam, 62, didakwa memiliki 17.7 juta saham Velocity, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh syarikat berkenaan kepada kepada Suruhanjaya SSM pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin lalu.
Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor turut membangkitkan persoalan sama ada pembelian saham tersebut dalam Velocity dibuat melebihi had nilai yang dibenarkan kepada penjawat awam mengikut pekeliling tatatertib perkhidmatan awam.
“Mengapa saham Velocity dibeli dan dilupuskan dalam tempoh hanya setahun? Mengapa saham tersebut dibeli tidak lama selepas Azam terbabit dalam satu lagi pembelian saham yang dipersoalkan pada 2021 di mana beliau mendakwa saham berkenaan telah dibeli oleh abangnya menggunakan nama beliau.
"Berdasarkan perkara-perkara ini, adakah terdapat pembelian saham lain yang meragukan oleh Azam dalam syarikat-syarikat lain?" soalnya.
Ramkarpal menegaskan, keyakinan awam terhadap SPRM hanya dapat dipertahankan jika siasatan sewajarnya dijalankan sementara Azam direhatkan daripada tugas, sekali gus memberinya peluang untuk didengar.
Kata beliau, kerajaan tidak boleh mengabaikan perkara terbabit kerana integriti institusi itu sendiri mesti menjadi keutamaan tertinggi dan segala usaha perlu dilakukan untuk melindungi imejnya.
Ringkasan AI
- DAP mendesak kerajaan untuk siasat Ketua Pesuruhjaya SPRM berhubung isu pemilikan saham
- Siasatan harus dilakukan oleh pihak ketiga yang bebas
- Isu melibatkan integriti dan ketelusan SPRM, bukan hanya pengisytiharan aset
- Azam Baki menafikan salah laku tentang sahamnya dan menyatakan telah mengisytiharkan saham tersebut
- Ramkarpal Singh membangkitkan persoalan tentang kepatuhan terhadap peraturan had ekuiti penjawat awam dalam pembelian saham
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
