Isu keselamatan, pertahanan, agama antara dibincang dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara pada Khamis. Foto Bernama
Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berkenan berangkat pada Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271 di Istana Negara pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Aspek keselamatan dan pertahanan negara, hal ehwal agama Islam, kebajikan pendidikan, pelantikan kehakiman serta isu perdagangan antarabangsa adalah antara perkara yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (MRR) ke-271 yang berlangsung dua hari di Istana Negara.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad berkata, MRR dipersembahkan taklimat terkini tentang keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, manakala Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Datuk Malek Razak Sulaiman memberikan sembah taklimat berhubung pertahanan negara.

Beliau berkata, turut dibincangkan ialah laporan dan cadangan daripada Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Raja-Raja dan Yang Dipertua Negeri yang ditubuhkan lebih 40 tahun lepas hasil sumbangan Raja-Raja bagi manfaat pelajar terpilih menerima biasiswa dan anugerah diraja di semua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

"Raja-Raja turut menzahirkan penghargaan kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas ampun kurnia sebanyak RM1.3 juta pada 2025 bagi menyokong dana berkenaan,” katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Dalam aspek pentadbiran Islam setiap negeri, beliau berkata, persidangan membincangkan pelantikan ahli Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam (MKI), pensijilan halal, pengurusan peruntukan khas Kerajaan Persekutuan bagi bantuan selenggara dan naik taraf institusi pendidikan Islam (IPI), serta pelaksanaan dan pencapaian program takmir di seluruh Malaysia.

"Raja-Raja turut memperkenankan supaya Sultan Perak Sultan Nazrin Shah terus mempengerusikan MKI bagi tempoh dua tahun lagi,” katanya.

Selain itu, Syed Danial berkata, Mesyuarat MRR ke-271 meneliti kertas cadangan berhubung dasar pindaan Akta Orang Asli 1954 yang berkaitan dengan hal ehwal tanah selain Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA 2025).

Beliau berkata, persidangan berkenaan turut meneliti cadangan pelantikan hakim Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, serta cadangan pelantikan lain yang memerlukan pertimbangan MRR termasuk membabitkan lembaga pengelola Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK).

Berhubung isu perdagangan, beliau berkata, Mesyuarat MRR ke-271 telah dipersembahkan taklimat dan penjelasan mengenai beberapa isu berkaitan Perjanjian Timbal Balas Perdagangan (ART) antara Malaysia dengan Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

Mesyuarat MRR ke-271 yang berlangsung semalam dipengerusikan oleh Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin. - Bernama

 

 

 

 

 

Ringkasan AI

  • Keselamatan dan pertahanan negara, hal ehwal agama Islam, kebajikan pendidikan adalah antara perkara utama dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-271
  • Ketua Polis Negara dan Panglima Angkatan Tentera memberikan taklimat tentang keselamatan dan pertahanan negara
  • Laporan dan cadangan daripada Lembaga Kumpulan Wang Biasiswa Raja-Raja untuk manfaat pelajar terpilih di IPTA dibincangkan
  • Sultan Ibrahim mengurniakan RM1.3 juta untuk menyokong dana biasiswa pada 2025
  • Persidangan meneliti kertas cadangan pindaan Akta Orang Asli 1954 dan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!