Wajibkan 'dashcam': Kerajaan perlu buat pertimbangan, ambil kira implikasi kepada rakyat - Anthony

ANTHONY
ANTHONY
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan perlu membuat pelbagai pertimbangan sekiranya mahu mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) kepada semua kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, perkara itu sememangnya pernah dibincangkan, namun masih belum ada keputusan mengenainya dan di peringkat advokasi.

"Kita (kerajaan) ada bincang (wajib pemasangan dashcam), tapi belum ada keputusan kerana perkara seperti ini perlu mengambil kira pelbagai pertimbangan terlebih dahulu.

"Bukan susah untuk kita wajibkan, tapi kalau mahu wajibkan sudah tentu ada implikasi.Jadi kita kena buat pertimbangan pelbagai aspek dan melihat pelbagai faktor terlebih dahulu sebelum sesuatu itu diwajibkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Hi-Tea Menteri Pengangkutan Bersama JPKK Parlimen Seremban dan Dewan Undangan Negeri(DUN) Chennah di sini pada Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Timbalan Pengarah 1 (Penguatkuasaan/Kawalan Lalu Lintas/Pengurusan Saman) Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Deputi Komisioner Mohd Rozi Jidin yang berpendapat sudah sampai masanya Kementerian Pengangkutan menilai untuk mewajibkan pemasangan aksesori tersebut kepada semua pengguna jalan raya sebagai sebahagian usaha memperkukuh penguatkuasaan dan keselamatan lalu lintas.

Jelas Anthony lagi, apa-apa dasar baharu sudah tentu perlu melalui proses bagi melihat terlebih dahulu keberkesanannya selain mengambil kira implikasi terhadap rakyat.

"Sudah tentu kalau kita wajibkan semua memasangnya, ia akan ada tambahan kos yang mungkin menyebabkan ada sebilangan masyarakat tidak bersetuju.

"Jadi perkara seperti itu kita cuba imbangkan sama ada ia boleh diwajibkan atau tidak," katanya.

Bagaimanapun ujarnya, orang ramai digalakkan untuk memasang aksesori tersebut bagi tujuan keselamatan dan sebagai perlindungan diri selain boleh dijadikan bukti sekiranya berlaku sebarang insiden.

Artikel Berkaitan:

"Kita tahu ramai orang secara sukarela memasang dashcam dan bagi saya setakat ini kita di peringkat advokasi serta ambil pendekatan berhemah dalam perkara ini," katanya.

Ringkasan AI

  • Kerajaan mempertimbangkan untuk mewajibkan pemasangan kamera papan pemuka (dashcam) kepada semua kenderaan
  • Perbincangan masih berlangsung dan belum ada keputusan muktamad
  • Pertimbangan pelbagai aspek dan faktor perlu dilakukan sebelum pemasangan dashcam diwajibkan
  • Wajib pemasangan dashcam mungkin mendatangkan implikasi termasuk tambahan kos kepada masyarakat
  • Orang ramai digalakkan memasang dashcam untuk tujuan keselamatan dan perlindungan diri

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!