CPR dibuat terhadap anak AR Badul - Saksi

KOTA KINABALU - Seorang doktor memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, bahawa beliau ada berada bersama Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya ketika disahkan meninggal dunia pada jam 9.20 pagi selepas kejadian tembakan semasa demonstrasi yang diadakan di Kem Lok Kawi, enam tahun lalu.
Mejar Dr Mohd Syazwi Mohamad Safiai yang merupakan saksi keempat pihak pendakwaan menyatakan perkara itu ketika menjawab soalan pemeriksaan balas peguam Datuk Ansari Abdullah dalam prosiding perbicaraan yang berlangsung pada Khamis.
Mahkamah turut diberitahu bahawa sebelum pengesahan kematian dibuat, pasukan perubatan telah menjalankan prosedur resusitasi sejurus selepas Mohd Zahir ditembak kira-kira jam 8.40 pagi.
Menurut saksi itu, beliau bersama dua lagi pegawai perubatan telah melaksanakan protokol trauma standard sebaik tiba di lokasi mangsa berada sebelum dimasukkan ke dalam ambulans.
"Kami menjalankan protokol trauma standard dan meneruskan proses resusitasi," katanya.
Menjawab soalan lanjut, beliau memaklumkan bahawa tekanan dada sebagai sebahagian prosedur pernafasan resusitasi kardiopulmonari (CPR) turut dilakukan.
"Ya," katanya apabila ditanya sama ada tekanan tangan pada dada mangsa dilakukan.
Beliau bagaimanapun tidak bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tindakan tersebut boleh memburukkan kecederaan dada yang dialami mangsa.
Saksi itu turut memberitahu mahkamah bahawa proses resusitasi dijalankan kira-kira 20 minit dan diteruskan dalam ambulans sehingga tiba di hospital.
Terdahulu, beliau menjelaskan bahawa pasukan perubatan dimaklumkan oleh dua anggota tentera sebelum bergegas mendapatkan mangsa.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Prosiding tersebut didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai.
Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Ansari bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, pada 4 September 2019.
Ringkasan AI
- Seorang doktor bersama Mohd Zahir Armaya ketika disahkan meninggal dunia akibat tembakan dalam demonstrasi di Kem Lok Kawi
- Pasukan perubatan menjalankan prosedur resusitasi sebelum mengesahkan kematian Mohd Zahir
- Protokol trauma standard dilakukan oleh doktor dan dua pegawai perubatan di lokasi kejadian
- Tekanan dada sebagai bagian dari resusitasi kardiopulmonari (CPR) turut dilakukan
- Proses resusitasi berlangsung kira-kira 20 minit dan diteruskan dalam ambulans hingga ke hospital
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
