Dua kediaman sorok LPG haram diserbu, nilai rampasan lebih setengah juta

Mohd Hazimin (kanan) menunjukkan lori serta LPG yang disita menerusi serbuan dijalankan pada Rabu.
Mohd Hazimin (kanan) menunjukkan lori serta LPG yang disita menerusi serbuan dijalankan pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka menyerbu dua kediaman yang dijadikan pusat penyimpanan gas petroleum cecair (LPG) tanpa lesen di Telok Mas di sini pada Rabu.

Pengarah KPDN Melaka, Dr Mohd Hazimin Jamaludin berkata, serbuan serentak pada jam 9 malam melibatkan 15 anggota penguat kuasa itu dijalankan hasil aduan awam dan risikan pihaknya.

Menurutnya, pemeriksaan di premis pertama menemukan sebanyak 524 tong LPG pelbagai jenama dengan 191 daripadanya berisi gas yang disimpan di tempat tidak dilesenkan.

“Kita turut menyita lima lori dengan kapasiti muatan satu tan, tiga tan, lima tan dan tujuh tan yang disyaki digunakan untuk mengalihkan barang kawalan berkenaan. Nilai sitaan di kediaman pertama dianggarkan berjumlah RM476,000.

“Seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 50-an yang mengaku bertanggungjawab terhadap kediaman berkenaan telah ditahan bagi membantu siasatan,” katanya pada sidang akhbar di Stor Eksibot KPDN Melaka di Krubong pada Khamis.

Mohd Hazimin, dalam serbuan di kediaman kedua pula, sebanyak 296 tong LPG pelbagai jenama ditemukan dengan 160 daripadanya berisi gas membabitkan nilai sitaan lebih RM107,000.

Ujarnya, seorang lelaki tempatan berusia lewat 40-an turut ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen atau kebenaran daripada Pengawal Bekalan untuk menjalankan urus niaga barang kawalan.

“Secara keseluruhan, jumlah sitaan daripada kedua-dua premis dianggarkan sebanyak RM584,000.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dibaca bersama Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana disyaki memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan serta menjalankan urus niaga barang berjadual tanpa lesen sah daripada Pengawal Bekalan,” katanya

Artikel Berkaitan:

KPDN memberi amaran kepada semua peniaga supaya mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan kerajaan serta menegaskan pemantauan dan operasi akan terus dipergiatkan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan salah laku perdagangan dan isu kepenggunaan boleh menyalurkan aduan melalui WhatsApp 019-848 8000, portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1-800-886-800, aplikasi Ez Adu KPDN atau Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) KPDN Melaka di talian 06-2345869 (8 pagi hingga 6 petang).

Ringkasan AI

  • KPDN Melaka menyerbu dua kediaman tanpa lesen di Telok Mas yang simpan 820 tong LPG
  • Serbuan berlaku jam 9 malam berdasarkan aduan awam dan risikan KPDN
  • Penemuan menyita lima lori dan tong LPG bernilai keseluruhan RM584,000
  • Dua lelaki tempatan ditahan untuk bantu siasatan kes melibatkan barang kawalan tanpa lesen
  • Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan 1974

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!