AKPS rampas hampir 200,000 kg e-sisa, bahan buangan terjadual di Pelabuhan Klang

SHAH ALAM - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang merampas sisa elektronik dan bahan buangan terjadual seberat 195,720 kilogram (kg) dipercayai diseludup ke pelabuhan itu pada 3 petang Rabu.
Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, rampasan berkenaan dilakukan menerusi pemeriksaan fizikal di tapak Unit Scanner CT1 Pelabuhan Barat terhadap 10 kontena di kawasan itu.
"Pemeriksaan itu mendapati tujuh kontena mengandungi e-sisa manakala tiga lagi iaitu masing-masing sebuah kontena mengandungi bahan buangan terjadual, campuran sampah plastik dan kertas serta mesin industri,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, pemeriksaan turut disertai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia Berhad (SIRIM), Lembaga Pelabuhan Klang serta Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor.
Nik Ezanee berkata, kesemua sisa elektronik itu dan bahan buangan terjadual diimport daripada beberapa pelabuhan sekitar Amerika Syarikat dan bahan-bahan terbabit adalah dilarang mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
Dalam kes lain, beliau berkata, AKPS Pelabuhan Klang turut menggagalkan cubaan menyeludup lima kontena mengandungi hasil ikan dan haiwan bernilai RM1.85 juta di Pelabuhan Barat semalam.
Menurutnya, kejayaan itu hasil dua operasi berasingan hampir enam jam bermula 11.30 pagi di Pusat Pemeriksaan Kontena CFS 4.
Beliau berkata, pihaknya menyita satu kontena mengandungi hasil ikan jenis tuna dalam tin dianggar seberat 15,360 kg bernilai RM219,420.88 diimport dari Vietnam.
"Selain itu, empat kontena mengandungi hasil haiwan jenis whole milk powder diimport dari New Zealand seberat 100,800 kg dianggarkan RM1.63 juta turut disita.
"Pemeriksaan mendapati kesemua dagangan tersebut cuba dibawa masuk tanpa permit import Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) yang sah," katanya menambah kes disiasat di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728). - Bernama
Ringkasan AI
- Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Pelabuhan Klang merampas 195,720 kilogram sisa elektronik dan bahan buangan terjadual
- Rampasan dilakukan melalui pemeriksaan fizikal terhadap 10 kontena di Unit Scanner CT1 Pelabuhan Barat
- Terdapat tujuh kontena e-sisa dan tiga kontena mengandungi bahan buangan terjadual yang diimport dari Amerika Syarikat
- Operasi pemeriksaan melibatkan kerjasama dengan SPRM, PDRM, SIRIM, Lembaga Pelabuhan Klang dan JAS Selangor
- Terdapat kes lain di mana lima kontena hasil ikan dan haiwan senilai RM1.85 juta cuba diseludup tanpa permit MAQIS sah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
