Berkemungkinan tembakan tidak kena pada plat yang diguna anak AR Badul - Saksi

Pasukan peguam mewakili ahli keluarga Allahyarham anak AR Badul yang meninggal dunia semasa melakukan demonstrasi pada 2019. Gambar kecil: Allahyarham Mohd Zahir Armaya.
Pasukan peguam mewakili ahli keluarga Allahyarham anak AR Badul yang meninggal dunia semasa melakukan demonstrasi pada 2019. Gambar kecil: Allahyarham Mohd Zahir Armaya.
A
A
A

KOTA KINABALU – Saksi pihak pembelaan defendan mengesahkan bahawa vest yang dikemukakan di Mahkamah Tinggi di sini adalah milik Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya yang dipakainya ketika kejadian beliau maut tertembak di Kem Lok Kawi pada 4 September 2019.

Pegawai Staf 2, Mejar Mohammad Fariszul Syauqie Ismail, selaku saksi pertama pihak pembelaan defendan, mengesahkan perkara itu selepas membuat pemeriksaan dan melihat sendiri vest berkenaan.

“Saya mengesahkan peralatan tersebut merupakan milik si mati dan dipakai pada hari kejadian,” katanya dalam keterangannya ketika menjawab soalan yang dikemukakan peguam plaintif, Datuk Ansari Abdullah, pada Selasa.

Ketika diminta mengesahkan sama ada eksibit tersebut mengandungi kesan darah, beliau memaklumkan terdapat kesan tertentu namun tidak dapat dipastikan sama ada ia darah atau kotoran lain.

“Berdasarkan pemerhatian saya, terdapat beberapa kesan kotoran, tetapi tidak dapat dipastikan sama ada kotoran tersebut ialah darah, tanah atau berpunca daripada elemen lain pada peralatan ini,” jelasnya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa plat perlindungan individu yang digunakan Mohd Zahir dikendalikan sendiri oleh pemakai mengikut keselesaan dan kesesuaian.

“Kelengkapan individu dalam tentera dikendalikan oleh individu itu sendiri mengikut keselesaan pemakaian, saiz tubuh badan dan keperluan semasa latihan atau operasi.

“Bagi tujuan demonstrasi, kelengkapan yang digunakan si mati tidak dapat dipamerkan secara identikal seperti mana yang digunakan pada hari kejadian,” katanya ketika diminta menunjukkan kepada mahkamah cara plat perlindungan dimasukkan ke dalam vest milik arwah.

Bagaimanapun, beliau mengesahkan bahawa selepas Mohd Zahir tertembak semasa demonstrasi tersebut, si mati masih memakai vest berkenaan.

Artikel Berkaitan:

“Benar, semasa saya mendekati si mati pada hari kejadian selepas beliau dibawa ke tepi padang kawad, si mati masih memakai kelengkapan ini.

“Saya tidak pasti siapa yang menanggalkan peralatan tersebut daripada tubuh si mati,” katanya.

Sementara itu, ketika menjawab soalan pemeriksaan semula oleh pasukan pembelaan defendan, saksi turut menghuraikan jawapan yang diberikan sebelum ini.

“Jawapan ‘berkemungkinan ya’ yang saya maksudkan ialah Kolonel Razahar tidak menyasarkan atau menembak kawasan yang dilindungi plat logam tersebut. Sebagai seorang penembak tepat yang berpengalaman, sasaran beliau adalah berdasarkan rangka tubuh manusia dengan titik fokus di bahagian tengah rangka.

“Sekiranya kedudukan plat tidak berada pada tempat yang sepatutnya, iaitu di tengah rangka tubuh, maka berkemungkinan tembakan tersebut tidak mengenai plat berkenaan,” jelasnya.

Saksi seterusnya menjelaskan bahawa beliau bersetuju dengan rujukan peguam plaintif terhadap Enclosure 15.

“Saya bersetuju bahawa tembakan tersebut tidak mengenai bahagian tengah plat. Seperti dinyatakan dalam Enclosure 15, sebagai penembak tepat terlatih, sasaran ialah di tengah rangka tubuh.

“Dalam situasi ini, plat perlindungan sepatutnya berada di tengah rangka tubuh si mati. Oleh itu, ketepatan tembakan dilepaskan adalah selaras dengan amalan penembak tepat, namun kedudukan plat pada tubuh si mati tidak berada pada kedudukan yang tepat,” katanya.

Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham melalui pasukan peguam mereka memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Prosiding tersebut didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah bersama anaknya, Erveana, serta Noor Shazwani Sapri, manakala pasukan pembelaan defendan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.

Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A. R. Badul, disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi pada 4 September 2019.

Ringkasan AI

  • Saksi pihak pembela mengesahkan vest yang tertembak adalah milik Allahyarham Mohd Zahir Armaya
  • Vest tersebut diperiksa oleh Mejar Mohammad Fariszul yang tidak dapat pastikan kesan darah atau kotoran lain
  • Beliau menegaskan individu dalam tentera mengendalikan kelengkapan sendiri mengikut keselesaan
  • Mohd Zahir masih memakai vest setelah terjatuh akibat tertembak
  • Keluarga Mohd Zahir memulakan tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat dan ATM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!