Laporan media antarabangsa: SPRM nafi dakwaan siasatan dipengaruhi kepentingan peribadi

SPRM menafikan dakwaan siasatan dipengaruhi kepentingan peribadi. Gambar hiasan
SPRM menafikan dakwaan siasatan dipengaruhi kepentingan peribadi. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan bahawa siasatan yang dijalankan dipengaruhi kepentingan peribadi.

SPRM dalam kenyataan berkata, pihaknya mengambil maklum satu laporan yang diterbitkan oleh sebuah media antarabangsa yang mengandungi tohmahan dan dakwaan-dakwaan tidak berasas serta berniat jahat untuk mencemarkan nama baik dan reputasi suruhanjaya.

Menurutnya, semua siasatan SPRM dilaksanakan dengan tegas selaras dengan peruntukan undang-undang, berpandukan kepada bukti serta dijalankan secara bebas tanpa rasa takut atau pilih kasih.

"SPRM ingin menegaskan bahawa tidak akan mengulas dakwaan yang berunsur tohmahan dan bersifat spekulatif serta melibatkan perkara yang masih dalam pertimbangan mahkamah (sub judice) atau tertakluk kepada proses undang-undang yang sedang berjalan.

"Sebarang dakwaan atau andaian bahawa siasatan SPRM dipengaruhi oleh kepentingan peribadi adalah ditolak sama sekali.

"Sebarang keputusan berkaitan pendakwaan tertakluk kepada budi bicara pendakwaan dan kuasa kehakiman oleh Jabatan Peguam Negara serta sistem kehakiman, selaras dengan kerangka perundangan Malaysia yang berasaskan prinsip pengasingan kuasa," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Tambah kenyataan itu, sebagai sebuah agensi penguatkuasaan, fungsi dan peranan SPRM dikuatkuasakan oleh Akta SPRM 2009 serta tertakluk kepada pemantauan oleh lima badan pemantau bebas.

Jelasnya, sebarang dakwaan salah laku tidak boleh diadili melalui naratif media, sebaliknya dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan yang telah ditetapkan.

"SPRM menegaskan bahawa mana-mana individu atau pihak yang mempunyai bukti berasas serta sahih berkaitan rasuah atau salah laku digesa untuk menyalurkan maklumat tersebut melalui saluran yang sewajarnya bagi membolehkan penilaian dan tindakan diambil selaras dengan undang-undang," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Media antarabangsa terbabit mendakwa SPRM bersekongkol dengan ahli perniagaan dalam beberapa tindakan untuk menyingkirkan pesaing dan mengambil alih syarikat secara paksa.

Ringkasan AI

  • SPRM menafikan dakwaan siasatan dipengaruhi kepentingan peribadi
  • Siasatan SPRM dilaksanakan berdasarkan undang-undang, bukti, dan dijalankan secara bebas
  • Dakwaan mengenai pengaruh peribadi dalam siasatan SPRM ditolak sama sekali
  • Keputusan pendakwaan dibuat oleh Jabatan Peguam Negara dan sistem kehakiman Malaysia
  • Dakwaan salah laku harus dinilai melalui sistem perundangan dan proses keadilan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!