Saksi akui tertekan insiden tertembak anak AR Badul semasa demonstrasi enam tahun lalu

Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung insiden ertembak anak AR Badul semasa melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, enam tahun lalu,
Laporan Sinar Harian pada Selasa berhubung insiden ertembak anak AR Badul semasa melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, enam tahun lalu,
A
A
A

KOTA KINABALU - Pegawai tentera yang tertembak Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya semasa melakukan demonstrasi di Kem Lok Kawi, enam tahun lalu, berada dalam keadaan yang sangat tertekan selepas mengetahui rakannya itu tercedera.

Leftenan Kolonel Razahar Rashid, 43, yang merupakan saksi kedua pihak pembelaaan defendan memberitahu mahkamah bahawa dia mengalami tekanan ketika dan selepas kejadian tersebut.

"Keadaan ketika kejadian saya sangat tertekan dan selepas kejadian saya pun mengalami tekanan yang sama," katanya semasa memberikan keterangannya di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.

Ditanya lanjut, bagaimana beliau mengatasi tekanan yang dialaminya, Razahar memaklumkan bahawa dia telah menemui pakar kaunseling.

"Semasa di Kem Lok Kawi, saya telah berjumpa dengan kaunseling dan berjumpa dengan pakar kaunseling di Hospital Tentera di Terendak, Melaka," jelasnya.

Razagar juga diminta untuk menerangkan kepada mahkamah bagaimana seorang askar diiktiraf sebagai penembak tepat termasuk beliau sendiri dengan merujuk kepada pernyataan bertulisnya mengenai frasa 'kami telah meningkatkan kemahiran kepakaran menembak'.

"Pertama sekali, saya dan juga arwah telah berjaya menamatkan kursus tempur jarak dekat di mana objektif kursus tersebut adalah untuk meningkatkan kepakaran menembak, pengendalian senjata dan seni mempertahankan diri. Kursus ini diiktiraf oleh pasukan khusus," katanya.

Dalam prosiding tersebut, Razahar turut diminta untuk menunjukkan cara pemakaian 'vest' iaitu miliknya sendiri dan juga Allahyarham Mohd Zahir sambil menerangkan kedudukan plat pada kedua-duanya.

"Ini adalah dua plat amour, dua plat ini digabungkan. Saya masukkan ke 'vest'. Ini saya punya pemakaian plat (sambil menunjukkan), di belakang saya tidak ada sebab situasi masa itu saya ditembak di bahagian depan manakala yang arwah dipasang bahagian belakang. Ini (vest) arwah pakai di bahagian belakang," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau seterusnya diminta menerangkan perbezaaan kedua-dua 'vest' tersebut yang mana katanya, ia adalah dua 'vest' dan plat adalah sama dipasang secara berganda.

"Perbezaannya acara demonstrasi saya pakai perlindungan di bahagian depan dan arwah bahagian belakang.

"Perbezaan yang kedua, 'vest' saya telah diukur malam itu, dijahit supaya mengikut tubuhnya oleh Trooper Idzham manakala arwah menyiapkan dan menyediakan 'vest' miliknya sendiri," katanya.

Razahar kemudian diminta menjelaskan mengenai keterangannya yang menyatakan Mohd Zahir menyiapkan dan menyediakan 'vest' miliknya sendiri.

"Pada malam tersebut, selepas dibuat pengurusan 'vest' saya telah dijahit oleh Trooper Idzham mengikut ukuran fizikal yang dibuat ke tubuh saya manakala arwah telah mengambil 'vest' dan dua plat untuk dibuat sendiri mengikut kesesuaian tubuh beliau," katanya.

Beliau turut memberitahu mahkamah bahawa satu plat tersebut mempunyai berat sekitar 2.5 kilogram hingga ke tiga kilogram.

Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Prosiding itu didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.

Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Datuk Ansari Abdullah bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.

Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 September 2019.

Ringkasan AI

  • Pegawai tentera yang tertembak rakan semasa demonstrasi di Kem Lok Kawi sangat tertekan selepas insiden itu
  • Saksi kedua pihak pembelaan, Leftenan Kolonel Razahar Rashid, mengalami tekanan dan berjumpa pakar kaunseling
  • Razahar dan Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya telah menamatkan kursus tempur jarak dekat yang diiktiraf oleh pasukan khusus
  • Razahar menjelaskan perbezaan pemakaian 'vest' antara dirinya dan Allahyarham Mohd Zahir semasa demonstrasi
  • Keluarga Allahyarham Mohd Zahir Armaya memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat dan ATM

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!