Tragedi tertembak anak AR Badul: Demonstrasi enam tahun lalu idea bersama - Saksi

KOTA KINABALU - Saksi memberitahu mahkamah bahawa gimik demonstrasi yang dilakukan di Kem Lok Kawi, pada 3 dan 4 September 2019 adalah ideanya dan Allahyarham Leftenan Kolonel Mohd Zahir Armaya sendiri.
Leftenan Kolonel Razahar Rashid, 43, yang merupakan saksi kedua pihak pembelaaan defendan berkata, beliau telah menyampaikan taklimat kepada Panglima Tentera Darat pada 29 Ogos 2019 di bilik mesyuarat sekretariat Tentera Darat di Kementerian Pertahanan (Mindef).
"Demonstrasi pada 3 September 2019 adalah menyelamatkan tebusan, manakala 4 September 2019 pula adalah konsep 'car drill' menyelamatkan tebusan.
"(Idea) daripada saya dan arwah," katanya ketika ditanya semasa sesi pemeriksaan balas peguam Datuk Ansari Abdullah, di Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa.
Razahar kemudian turut ditanya adakah beliau memberikan taklimat mengenai peluru hidup yang digunakan pada demonstrasi pada 3 dan 4 September 2019 di Kem Lok Kawi.
"Tidak. Taklimat tambahan penggunaan peluru hidup ditaklimatkan kepada Panglima Medan Timur Tentera Darat dan Panglima 21 Grup Gerak Khas di Kem Lok Kawi," katanya.
Ditanya lanjut bila taklimat itu diberikan, Razahar memaklumkan semasa raptai penuh dilakukan pada 1 Septmber 2019.
Sebelum itu, ahli keluarga Allahyarham Mohd Zahir melalui pasukan peguam mereka telah memulakan prosiding tuntutan saman terhadap sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Prosiding itu didengar oleh Hakim Datuk Alexander Siew How Wai di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu.
Pasukan peguam plaintif diwakili oleh Ansari bersama anaknya, Erveana dan Noor Shazwani Sapri manakala pasukan pembelaan defendan ialah Peguam Kanan Persekutuan, Nur Ezdiani Roleb dan Peguam Persekutuan, Siti Norashikin Hassanor serta Wan Nur Muhammad Ehsan Alauddin.
Mohd Zahir, 36, yang juga anak kepada pelakon popular A R Badul disahkan meninggal dunia selepas tertembak ketika melakukan demonstrasi sempena pelancaran Divisyen Kelima Infantri Malaysia dan Briged Ke-13 Infantri Malaysia di Kem Lok Kawi, Sabah pada 4 September 2019.
Ringkasan AI
- Gimik demonstrasi di Kem Lok Kawi ideanya datang dari saksi dan Allahyarham Mohd Zahir Armaya
- Razahar memberi taklimat pada 29 Ogos 2019 kepada Panglima Tentera Darat
- Demonstrasi melibatkan menyelamatkan tebusan pada 3 Sept, dan 'car drill' pada 4 Sept
- Tak ada taklimat mengenai peluru hidup oleh Razahar, dilakukan oleh orang lain pada 1 Sept
- Kelahiran Mohd Zahir menggugat sembilan defendan termasuk bekas Panglima Tentera Darat dan ATM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
