Mahkamah batalkan perintah reman, Tamim Dahri dan tiga rakan bebas serta-merta

Mahkamah membatalkan perintah reman terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.
Mahkamah membatalkan perintah reman terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.
A
A
A

SHAH ALAM – Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, membatalkan perintah reman selama dua hari yang dikeluarkan Mahkamah Majistret sama terhadap aktivis, Tamim Dahri dan tiga rakannya, berhubung isu perobohan kuil tidak sah di Taman Rawang Perdana.

Menerusi kenyataan di laman sosial Facebook, peguam, Aidil Khalid berkata, keputusan itu dibuat selepas mahkamah memanggil kes berkenaan untuk semakan semula.

"Mahkamah memerintahkan mereka dilepaskan serta-merta," katanya yang juga peguam Gerakan Anti Rumah Anutan Haram (Garah).

Sebelum ini, Tamim bersama tiga rakannya ditahan bagi membantu siasatan berhubung kerja-kerja pembersihan tanah yang dijalankan awal pagi Rabu.

Siasatan dibuat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana khianat, Seksyen 504 kerana dengan sengaja mengaibkan dengan niat mencetuskan pecah keamanan serta Seksyen 295 kerana mencemarkan tempat ibadat.

Tangkapan dibuat susulan laporan polis oleh seorang individu yang mendakwa sebagai pemilik sebuah kuil di atas tanah berkenaan.

Setakat ini, mereka masih belum dimaklumkan sama ada siasatan turut dijalankan terhadap dakwaan pencerobohan tanah yang dikemukakan oleh pihak Yayasan Kubra sebelum ini.

Kawasan tersebut merupakan tanah milik yayasan tersebut yang telah diceroboh sejak 2018 dan perobohan dibuat bagi memberi laluan kepada projek pembinaan rumah asnaf.

Dalam pada itu, Aidil berkata, yayasan berkenaan telah mengeluarkan notis kepada pihak yang didakwa menceroboh tanah berkenaan serta membuat laporan polis sejak 2018, namun tiada tindakan diambil setakat ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, yayasan juga pernah berhubung dengan pihak berkuasa tempatan, namun diminta menguruskan perkara tersebut sendiri.

Pada Isnin, Tamim bersama seorang lagi aktivis, Zamri Vinoth ditahan reman selama dua hari, iaitu sehari selepas Perhimpunan Gerakan Anti Rumah Anutan Haram yang diadakan di depan pusat beli-belah Sogo, Kuala Lumpur.

 

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi Shah Alam membatalkan perintah reman terhadap Tamim Dahri dan tiga rakannya berkaitan isu perobohan kuil di Taman Rawang Perdana
  • Keputusan pelepasan dibuat selepas mahkamah semak semula kes tersebut
  • Siasatan melibatkan aktiviti pembersihan tanah dan dituduh mengikut tiga seksyen Kanun Keseksaan
  • Kawasan tanah tersebut milik Yayasan Kubra, diceroboh sejak 2018 untuk projek pembinaan rumah asnaf
  • Yayasan tersebut telah cuba mengambil tindakan sejak 2018 tetapi tiada tindakan diambil oleh pihak berkuasa

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!