Peniaga didenda RM8,000 jual rokok harga rendah

KEMAMAN - Seorang pemilik kedai runcit didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah menjual rokok di bawah harga minimum yang ditetapkan iaitu RM12 sekotak.
Hakim Wan Suhaila Mohd memutuskan hukuman itu terhadap Saidatul Akmal Mohamad Noor, 51, selaku orang kena saman (OKS) sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan.
Berdasarkan pertuduhan, lelaki berkenaan didapati menjual paket produk merokok bukan pada harga jualan minimum RM12 bagi setiap paket rokok.
Kesalahan tersebut dilakukan di premis perniagaannya di Chukai, di sini kira-kira jam 11 pagi pada 27 Oktober 2024.
OKS didakwa mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 10(2)(a) akta sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda maksimum sehingga RM20,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya sekali.
Mahkamah kemudian menjatuhi hukuman denda RM8,000 atau lima bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Alias Awang Kechik.
Sebelum ini, tujuh anggota penguat kuasa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah menjalankan risikan dengan menyamar sebagai pelanggan sebelum melaksanakan serbuan di premis berkenaan.
Hasil pemeriksaan mendapati premis itu menjual rokok pada harga lebih rendah daripada harga minimum yang ditetapkan.
Sebanyak 10 kotak rokok bernilai keseluruhan RM60 turut disita dalam operasi tersebut.
Ringkasan AI
- Seorang pemilik kedai runcit di Kemaman didenda RM8,000 kerana menjual rokok bawah harga minimum RM12
- Hakim Wan Suhaila Mohd menjatuhkan hukuman setelah Saidatul Akmal mengaku bersalah
- Kesalahan dilakukan di premis perniagaan di Chukai, Kemaman pada 27 Oktober 2024
- Ditindak mengikut Seksyen 10(1) Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024
- Operasi KKM menyita 10 kotak rokok, keseluruhan bernilai RM60
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
