MyKiosk: KPKT wajibkan PBT laksana kajian lokasi

KPKT mewajibkan semua PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sebarang pemasangan kiosk di bawah inisiatif MyKiosk.
KPKT mewajibkan semua PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sebarang pemasangan kiosk di bawah inisiatif MyKiosk.
A
A
A

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mewajibkan semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melaksanakan kajian menyeluruh sebelum sebarang pemasangan kiosk di bawah inisiatif MyKiosk bagi memastikan lokasi dipilih benar-benar mempunyai permintaan pasaran tinggi.

Langkah itu diperkenalkan menerusi garis panduan baharu yang dikeluarkan Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT) sebagai usaha memperkukuh tatakelola serta menjamin kelangsungan perniagaan penjaja kecil.

KPKT dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan kewajipan tersebut dilaksanakan susulan laporan dan syor penambahbaikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung pelaksanaan projek berkenaan.

Menurut kementerian itu, hasil siasatan SPRM mengesahkan tiada sebarang elemen jenayah, rasuah atau salah guna kuasa dikesan sepanjang pelaksanaan MyKiosk.

Bagaimanapun, laporan sama turut mengenal pasti kelemahan di peringkat pelaksanaan khususnya berkaitan mekanisme pemantauan yang tidak seragam sehingga menjejaskan penilaian impak projek.

Sehubungan itu, KPKT menegaskan bahawa pendekatan baharu berasaskan kajian keperluan pasaran kini menjadi syarat utama sebelum sebarang kelulusan pemasangan diberikan.

“KPKT telah mewajibkan PBT melaksanakan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk untuk memastikan lokasi mempunyai permintaan pasaran yang tinggi,” menurut kenyataan tersebut.

Tambah kementerian itu, langkah berkenaan sekaligus dapat menjamin kelangsungan perniagaan melalui garis panduan baharu yang dikeluarkan JKT.

Dalam konteks pelaksanaan, KPKT menjelaskan bahawa walaupun dasar serta peruntukan disalurkan di peringkat Persekutuan, PBT bertindak sebagai agensi pelaksana utama di lapangan.

Artikel Berkaitan:

"PBT bertanggungjawab menentukan lokasi strategik, melantik peniaga layak serta menyelenggara fasiliti yang disediakan," jelas KPKT.

Dengan kewajipan kajian pasaran tersebut, setiap cadangan lokasi perlu disokong data jelas termasuk potensi pelanggan, aliran pengunjung dan kesesuaian persekitaran setempat.

Pendekatan itu dilihat sebagai mekanisme mencegah pemasangan di kawasan kurang tumpuan yang boleh menjejaskan daya maju perniagaan penjaja.

Selain kewajipan kajian awal, prestasi PBT turut akan dinilai melalui sistem ‘Lampu Isyarat’ bagi memantau tahap pengisian serta pengoperasian kiosk.

"PBT yang gagal mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) dan berada pada status merah berdepan tindakan pembatalan peruntukan, manakala pihak yang mencapai status hijau akan menerima insentif tambahan," jelasnya.

Pemantauan tersebut dilaksanakan JKT dengan laporan dikemukakan kepada KPKT setiap suku tahunan bagi memastikan tindakan susulan dapat diambil secara berterusan.

Dalam pada itu, PBT turut disaran memindahkan unit kurang sambutan ke lokasi lebih berpotensi sebagai langkah mengoptimumkan penggunaan aset.

"KPKT menegaskan dakwaan bahawa MyKiosk merupakan projek ‘gajah putih’ adalah tidak tepat memandangkan kadar pengisian setakat Julai 2025 menunjukkan MyKiosk 1.0 mencapai 91.75 peratus manakala MyKiosk 2.0 merekodkan 86.78 peratus," katanya.

Menurut kementerian berkenaan, inisiatif itu telah membantu meningkatkan pendapatan lebih 7,000 keluarga penjaja kecil di seluruh negara termasuk terdapat peniaga meraih sehingga RM30,000 sebulan.

“KPKT komited memastikan setiap sen dana awam dibelanjakan secara berintegriti dan memberi impak optimum kepada ekonomi rakyat selaras aspirasi Malaysia Madani,” katanya.

Dengan penetapan syarat kajian menyeluruh sebelum pemasangan, pelaksanaan MyKiosk kini memasuki fasa penambahbaikan yang memberi penekanan kepada perancangan berasaskan data serta kebertanggungjawaban pelaksana di peringkat tempatan.

Selasa lalu, SPRM membentangkan lima syor penambahbaikan tatakelola kepada KPKT berhubung pengurusan serta pelaksanaan projek MyKiosk.

SPRM memaklumkan, syor berkenaan dikemukakan susulan beberapa isu berkaitan pelaksanaan projek itu, termasuk dakwaan tidak mencapai objektif kerajaan serta menimbulkan ketidakselesaan kepada rakyat akibat penempatan kiosk yang tidak sesuai.

 

 

 

Ringkasan AI

  • Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan mewajibkan kajian menyeluruh sebelum pemasangan kiosk MyKiosk
  • Langkah ini bertujuan memastikan lokasi dipilih mempunyai permintaan pasaran tinggi
  • Garis panduan baharu diperkenalkan untuk memperkukuh tatakelola dan menjaga kelangsungan perniagaan penjaja
  • Kewajipan kajian pasaran dilihat sebagai mekanisme mencegah pemasangan di kawasan kurang tumpuan
  • PBT bertanggungjawab menentukan lokasi strategik dan menyelenggara fasiliti yang disediakan

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!