'Kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera' - Puad Zarkashi

SHAH ALAM - Pihak kerajaan dan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki digesa untuk segera memberi maklum balas berhubung dakwaan pemilikan saham dalam sebuah syarikat tersenarai di Bursa Malaysia.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Puad Zarkashi berkata, penjelasan itu tidak boleh ditangguhkan.
"Yang ini kerajaan dan Azam Baki kena jawab segera. Jangan tangguh-tangguh.
"Semoga ia dibangkitkan dalam parlimen. Ia isu kepentingan awam, jangan sapu bawah karpet," katanya menerusi laman Facebook pada Selasa.
Sebelum ini, Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.
Ia sekali gus pendedahan awam pertama mengenai pegangan saham besar atas namanya sejak kontroversi beberapa tahun lalu berhubung pegangan sahamnya yang mencetuskan protes menuntut beliau meletakkan jawatan.
Menurut laporan Bloomberg, Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.
Puad turut mempersoalkan kesahihan laporan berkenaan sama ada pemilikan tersebut mematuhi peraturan penjawat awam.
“Apakah benar? Apakah ia memang dibenarkan di bawah peraturan penjawat awam? Ini bukan kali pertama Azam Baki terlibat dalam kontroversi pemilikan saham,” katanya.
Ringkasan AI
- Pihak kerajaan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki diminta untuk segera memberi penjelasan tentang dakwaan pemilikan saham dalam syarikat tersenarai di Bursa Malaysia
- Datuk Dr Puad Zarkashi menekankan penjelasan tersebut tidak boleh ditangguhkan dan harap isu ini dibangkitkan dalam parlimen
- Azam dilapor memegang jutaan saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan
- Pegangan saham tersebut merupakan pendedahan awam pertama tentang pegangan saham besar atas nama Azam Baki
- Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

