Azam nafi salah laku pegangan saham, dakwa laporan berniat jahat

PUTRAJAYA – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menegaskan pegangan saham miliknya dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan sebelum ini dibuat secara telus dan mengikut prosedur ditetapkan.
Beliau berkata, tiada apa yang perlu disembunyikan berhubung pemilikan saham bernilai kira-kira RM800,000 itu kerana urus niaga berkenaan telah diisytiharkan mengikut saluran rasmi.
Menurutnya, pengisytiharan termasuk sumber pendapatan telah dibuat menerusi Sistem Maklumat Pengurusan Sumber Manusia (HRMIS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam.
"Saya telah membuat pengisytiharan mengenai perkara ini termasuk sumber pendapatan. Semuanya dibuat secara telus,” katanya memetik laporan sebuah media tempatan pada Selasa.
Azam menjelaskan saham berkenaan dibeli pada tahun lalu sebelum dilupuskan dalam tahun yang sama.
Beliau turut menyifatkan laporan yang mempersoalkan urus niaga tersebut sebagai berniat jahat dan mengelirukan.
Tambahnya, beliau sedang mempertimbangkan tindakan undang-undang berikutan laporan berunsur fitnah berkenaan.
Sebuah portal antarabangsa melaporkan Azam, 62, dikatakan memiliki 17.7 juta saham Velocity Capital Partner Bhd, sebuah syarikat perkhidmatan kewangan tersenarai di Bursa Malaysia berdasarkan pemfailan tahunan oleh Velocity Capital kepada kepada Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada 3 Februari tahun lalu.
Nilai pegangan tersebut dianggarkan bernilai hampir RM800,000 setakat penutupan dagangan pada Isnin.
Menurut laporan itu lagi, sehingga Selasa nama Azam masih tersenarai dalam daftar pemegang saham Velocity Capital di SSM yang boleh diakses melalui pangkalan data berbayar dan dikemas kini secara berkala.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan bila saham tersebut diperolehi dan Velocity Capital dilaporkan masih belum mengemukakan pemfailan sama yang dikenali sebagai penyata tahunan, untuk tahun ini.
Sumber berita antarabangsa itu turut menyatakan, Azam dan SPRM tidak memberikan sebarang komen ketika diminta mengulas mengenai pegangan saham tersebut manakala Velocity Capital juga tidak membalas permintaan untuk komen.
Dalam pada itu, pekeliling kerajaan Malaysia 2024, yang memberikan panduan mengenai peraturan 1993 berkaitan tatakelakuan pegawai awam, menyatakan bahawa seorang penjawat awam dibenarkan membeli saham dalam syarikat yang diperbadankan di Malaysia dengan syarat pegangan tersebut tidak melebihi lima peratus daripada modal berbayar atau bernilai RM100,000, yang mana lebih rendah.
Mereka juga diwajibkan mengisytiharkan aset sekurang-kurangnya sekali setiap lima tahun serta pada masa pembelian dan penjualan pegangan saham.
Ringkasan AI
- Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, menyatakan pegangan saham miliknya dibuat secara telus mengikut prosedur
- Urus niaga saham tersebut, bernilai kira-kira RM800,000, telah diisytiharkan mengikut saluran rasmi
- Azam menyatakan telah membuat pengisytiharan termasuk sumber pendapatan secara telus
- Saham tersebut dibeli dan dilupuskan dalam tahun yang sama
- Azam mempertimbangkan tindakan undang-undang berikutan laporan berunsur fitnah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

