Op Bugil: Sindiket jenayah terancang 'online sextortion' tumpas

Mohd Khalid (kiri). FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
Mohd Khalid (kiri). FOTO SINAR HARIAN-ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sindiket jenayah terancang yang terlibat dengan kegiatan pemerasan seksual secara dalam talian atau ‘online sextortion' berjaya ditumpaskan dalam Op Bugil, pada 15 Januari lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, kejayaan itu hasil kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Johor.

"Sindiket tersebut diketuai seorang lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dianggotai seramai 11 individu berumur antara 18 hingga 37 tahun.

“Sindiket ini mula aktif sejak tahun 2024 dan berdasarkan laporan polis yang diterima di seluruh negara, kerugian mangsa dianggarkan melebihi RM3 juta,” katanya dalam sidang akhbar di Bukit Aman, di sini, pada Selasa.

Mohd Khalid berkata, modus operandi sindiket adalah dengan mencipta akaun media sosial palsu dan menyamar sebagai wanita menarik bagi memperdaya mangsa supaya melakukan panggilan video lucah.

"Dalam masa yang sama mangsa turut dihantar pautan phishing bagi tujuan menggodam data telefon bimbit mereka," katanya.

Beliau berkata, rakaman video lucah mangsa kemudiannya digunakan sebagai bahan ugutan untuk memeras wang secara berperingkat.

"Mangsa yang berada dalam keadaan takut dan tertekan akan memindahkan wang ke akaun sindiket sebagaimana diarahkan,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Khalid berkata, sindiket berkenaan turut terlibat dalam aktiviti eksploitasi dan pemerdagangan orang dengan merekrut pekerja tempatan termasuk individu bawah umur melalui tawaran gaji antara RM2,200 hingga RM4,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

“Selepas dilatih, mangsa ditawarkan pekerjaan di luar negara dengan gaji sehingga mencecah AS$2,500.

“Mangsa dipaksa bekerja sehingga 12 jam sehari, dikawal pergerakan, dirampas dokumen pengenalan serta didera secara fizikal dan seksual sekiranya enggan menurut arahan,” katanya.

Tambah beliau, mangsa juga diugut dengan bayaran RM30,000 sekiranya ingin berhenti kerja dan kebanyakan mereka enggan membuat laporan polis kerana takut dengan ugutan sindiket.

Dalam perkembangan sama, Mohd Khalid berkata, enam suspek berumur antara 18 hingga 33 tahun telah ditahan dalam operasi bersepadu pada 15 Januari lalu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

“Semua suspek mempunyai rekod jenayah lampau termasuk pemerdagangan orang dan kanak-kanak, memiliki serta menghasilkan pornografi kanak-kanak, rompakan berkumpulan dan bersenjata, khianat dengan membinasakan kabel, mencuri, merusuh serta aktiviti pengedaran dadah,” katanya.

Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Unit Jenayah Berat, Jabatan Peguam Negara pada 5 Februari lalu dan pihak pendakwaan bersetuju menuduh semua suspek di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.

“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Khamis ini,” katanya.

Ringkasan AI

  • Sindiket pemerasan seksual dalam talian berjaya ditumpaskan dalam Op Bugil pada 15 Januari lalu Sindiket diketuai oleh lelaki tempatan berusia 23 tahun dan dianggotai seramai 11 individu Mangsa diugut dengan rakaman video lucah mereka sebagai bahan pemerasan wang secara berperingkat Sindiket juga terlibat dalam aktiviti eksploitasi dan pemerdagangan orang Enam suspek telah ditahan dalam operasi bersepadu di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!