Ringgit ditutup mengukuh pada 3.92 berbanding dolar AS

Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga pada Selasa dengan mencecah semula paras 3.92 berbanding dolar AS. Foto hiasan
Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga pada Selasa dengan mencecah semula paras 3.92 berbanding dolar AS. Foto hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ringgit meneruskan momentum pengukuhannya apabila mengakhiri urus niaga pada Selasa dengan mencecah semula paras 3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Prestasi itu dicatatkan ketika pelabur melakukan persiapan bagi tindakan selanjutnya menjelang pengumuman data Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku keempat 2025 pada Jumaat ini.

Pada jam 6 petang, ringgit mengukuh di paras 3.9220/9260 berbanding dolar AS daripada paras 3.9325/9375 yang dicatatkan semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, pihak berkuasa China telah bertindak menasihati institusi kewangan negara itu bagi mengehadkan pendedahan terhadap bon-bon Perbendaharaan AS.

Langkah itu katanya, hanya mendorong kepada pengukuhan yuan China berbanding dolar AS, sekali gus meningkatkan lagi nilai ringgit.

Beliau berkata, ringgit juga terbukti mengekalkan pengukuhannya berbanding dolar AS, mencecah paras 3.9215 pada sesi pagi Selasa.

"Ringgit dilihat menjejaki aliran sama seperti yuan, susulan kaitan rapat antara kedua-dua mata wang itu pada pekali korelasi melebihi 90 peratus.

"Pada masa ini, ringgit mendapat sokongan baik dan pengumuman KDNK Malaysia pada Jumaat ini akan hanya memberi kewajaran seterusnya untuk mengukuh berbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Artikel Berkaitan:

Ini termasuk susut berbanding yen Jepun kepada 2.5264/5292 daripada 2.5104/5137 semalam, rendah berbanding pound Britain pada 5.3610/3664 daripada 5.3482/3550 dan turun berbanding euro pada 4.6731/6778 daripada 4.6647/6707 sebelumnya.

Namun, ringgit kebanyakannya ditutup mengukuh berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain, kecuali susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0994/1028 daripada 3.0979/10.21.

Ringgit naik berbanding rupiah Indonesia kepada 233.3/233.6 daripada 234.0/234.4, meningkat berbanding baht Thailand kepada 12.5866/6051 daripada 12.5876/6101 selain mengukuh berbanding peso Filipina pada paras 6.70/6.71 daripada 6.72/6.74 sebelum ini.- Bernama

Ringkasan AI

  • Ringgit mengukuh kepada 3.92 berbanding dolar Amerika Syarikat pada Selasa
  • Prestasi itu dipengaruhi oleh persiapan pelabur menjelang pengumuman data KDNK Malaysia
  • Dr Mohd Afzanizam berkata tindakan China menasihati institusi kewangannya untuk mengehadkan pendedahan terhadap bon Perbendaharaan AS menyokong pengukuhan yuan dan ringgit
  • Ringgit dilihat menjejaki aliran sama seperti yuan dengan kaitan rapat pada pekali korelasi melebihi 90 peratus
  • Ringgit ditutup mengukuh berbanding mata wang negara anggota ASEAN lain namun susut berbanding dolar Singapura

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!