Jenayah terancang: Ahli 'Geng Captain Praba' dituduh di mahkamah

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang merupakan ahli ‘Geng Captain Praba’ dan terlibat dalam kegiatan jenayah terancang dituduh di Mahkamah Sesyen Sepang pada Khamis.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, pertuduhan pada jam 11 pagi itu dilaksanakan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Menurutnya, pertuduhan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan pula akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat.
“Suspek telah ditangkap pada 4 Februari lalu menerusi Operasi Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman berdasarkan waran tangkap yang dikeluarkan oleh Mahkamah Sesyen Sepang pada 14 Januari lalu.
“Suspek ditahan untuk siasatan lanjut kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, penahanan suspek dibuat dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di Bangkok, Thailand sebelum suspek dibawa pulang ke Malaysia.
Tambahnya, suspek juga disyaki terlibat dalam satu kes yang berlaku di kawasan Subang Jaya, Selangor pada Januari 2025 yang disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, selain memiliki senjata dalam rusuhan yang disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan.
“Bagi kesalahan di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan, hukuman yang diperuntukkan ialah penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, manakala bagi Seksyen 148 Kanun Keseksaan pula memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya,” ujarnya.
Kumar berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) merakamkan penghargaan kepada pihak berkuasa Thailand atas kerjasama erat yang diberikan.
“PDRM menegaskan komitmen berterusan dalam menegakkan kedaulatan undang-undang demi memastikan keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat sentiasa diutamakan,” ujarnya.
Ringkasan AI
- Seorang lelaki ahli 'Geng Captain Praba' didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang
- Pertuduhan dilakukan di bawah Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan
- Suspek ditangkap 4 Februari menerusi Operasi Jack Sparrow oleh JSJ Bukit Aman
- Penahanan suspek dibuat dengan bantuan pihak berkuasa Thailand
- PDRM merakamkan penghargaan kepada Thailand atas kerjasama dalam kes ini
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
