Hilang selipar punca remaja 13 tahun dibuli, empat ditahan polis

Tular satu video rakaman CCTV berdurasi 21 saat memaparkan perbuatan buli membabitkan beberapa remaja lelaki.
Tular satu video rakaman CCTV berdurasi 21 saat memaparkan perbuatan buli membabitkan beberapa remaja lelaki.
A
A
A

JOHOR BAHRU – Hanya kerana kehilangan sepasang selipar, seorang remaja lelaki berusia 13 tahun menjadi mangsa buli sekumpulan empat remaja dalam kejadian di Jalan Mewah, Kampung Melayu Majidee di sini Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu gerai minuman dituduh mencuri selipar milik salah seorang suspek selepas selipar itu ditemui di kaki lima rumah mangsa.

Menurut beliau, kejadian dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa yang didakwa mencuri selipar berkenaan.

“Susulan penularan satu rakaman video kejadian tersebut, seorang lelaki berusia 28 tahun tampil membuat laporan polis.

“Bertindak atas laporan itu, polis menahan empat remaja lelaki warga tempatan berusia antara 14 hingga 15 tahun bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Raub berkata, kesemua suspek yang tidak bersekolah itu telah direman selama empat hari bermula 8 hingga 11 Februari ini selepas permohonan reman diluluskan oleh Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Tambahnya, polis turut merampas beberapa barang termasuk seutas tali nilon, penyembur racun serangga dan pemetik api bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Hasil semakan mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya.

Beliau memaklumkan, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Johor namun masih terdapat beberapa arahan yang perlu dilengkapkan sebelum pertuduhan dibuat.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau berkata permohonan reman baharu terhadap semua suspek akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Johor Bahru.

Terdahulu, media melaporkan satu rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berdurasi 23 saat tular di media sosial memaparkan kejadian buli melibatkan sekurang-kurangnya empat remaja terhadap seorang kanak-kanak lelaki, dipercayai berlaku kira-kira jam 12.39 tengah malam.

Rakaman tersebut menunjukkan mangsa terbaring dalam keadaan tangan terikat dan mulut dilekat pita pelekat, sebelum seorang suspek menyembur sesuatu yang dipercayai racun serangga sambil kelihatan pantulan cahaya api ke arah mangsa.

Tiga suspek kemudian dilihat menghampiri mangsa sebelum mengangkatnya dalam keadaan lemah, manakala seorang lagi bertindak sebagai pemantau di lokasi kejadian.

Ringkasan AI

  • Remaja lelaki 13 tahun di Johor Bahru dibuli kerana dituduh mencuri selipar
  • Empat remaja lelaki berusia 14 hingga 15 tahun ditahan polis berkaitan kejadian
  • Video kejadian buli tersebar di media sosial menyebabkan laporan polis dibuat
  • Barang bukti seperti tali nilon, penyembur racun serangga dan pemetik api dirampas untuk siasatan
  • Suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan polis akan membuat permohonan reman baharu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!