Dua maut kebakaran rumah, polis klasifikasi kes mati mengejut

JOHOR BAHRU - Polis mengklasifikasikan kes kebakaran rumah teres dua tingkat di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, Skudai, yang meragut dua nyawa, sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut dijalankan bagi memastikan tiada unsur jenayah terlibat.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Radin Ramlan Radin Taha berkata, klasifikasi itu dibuat berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian.
Menurut beliau, pihaknya menerima maklumat berhubung kebakaran rumah itu pada jam 7 pagi sebelum sepasukan polis dari Balai Polis Taman Ungku Tun Aminah digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan pemeriksaan dan tindakan awal.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati kebakaran berjaya dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
"Ketika operasi menyelamat, bomba menemui dua mangsa dalam sebuah bilik di tingkat atas rumah dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum kedua-duanya disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh Penolong Pegawai Perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA)," katanya dalam kenyataan.
Radin Ramlan berkata, kebakaran itu mengorbankan seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun yang mana dipercayai hubungan mereka adalah kenalan di tempat kerja.
Katanya, mayat kedua-dua mangsa sudah dibawa ke HSA bagi tujuan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
"Punca sebenar kebakaran serta punca kematian mangsa masih dalam siasatan lanjut dan menunggu laporan rasmi aripada JBPM serta laporan bedah siasat," jelasnya.
Ringkasan AI
- Polis mengklasifikasikan kes kebakaran rumah di Skudai sebagai laporan mati mengejut sementara siasatan lanjut dijalankan
- Kebakaran di Jalan Tenang 14, Taman Damai Jaya, dipadamkan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
- Dua mangsa ditemui tidak sedarkan diri dalam bilik dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian
- Mangsa adalah seorang lelaki tempatan berusia 22 tahun dan seorang wanita tempatan berusia 21 tahun, dipercayai kenalan di tempat kerja
- Punca sebenar kebakaran dan kematian masih dalam siasatan, menunggu laporan rasmi dari JBPM dan laporan bedah siasat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

