SPRM Pulau Pinang syor perkukuh tatakelola MAINPP

GEORGE TOWN – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pulau Pinang mengemukakan tujuh cadangan penambahbaikan tatakelola kepada Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) bagi memperkukuh pengurusan tabung masjid dan surau di bawah seliaan majlis berkenaan.
Pengarah SPRM Pulau Pinang, Datuk S Karunanithy berkata, cadangan itu merangkumi penambahbaikan garis panduan sedia ada dengan memperjelas kategori kerja penyelenggaraan dan naik taraf selain penetapan had nilai perolehan yang lebih teratur.
Menurutnya, SPRM turut mencadangkan pewujudan tatacara pemilihan syarikat yang standard dan telus bagi mengelakkan sebarang ruang serta peluang berlakunya rasuah dan salah guna kuasa.
“Antara syor lain ialah keperluan memaparkan maklumat perolehan kepada masyarakat, penambahbaikan borang Lafaz Ikrar Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid serta penubuhan jawatankuasa khas bagi memantau perolehan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Sebelum itu, beliau membentangkan Laporan Penambahbaikan Tatakelola kepada MAINPP dalam satu majlis yang diadakan di pejabat MAINPP di sini pada Rabu.
Pada majlis sama, turut diadakan sesi menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola antara SPRM Pulau Pinang dan MAINPP.
Karunanithy berkata, pewartaan prosedur operasi standard (SOP) yang seragam kepada semua masjid dan surau di seluruh Pulau Pinang juga penting bagi memastikan pelaksanaan pengurusan tabung dilakukan secara konsisten dan berintegriti.
“Syor ini dibuat hasil pemeriksaan Kertas Penyiasatan Tatakelola (KPT) SPRM Pulau Pinang yang mendapati terdapat kelemahan dari segi amalan, sistem serta tatacara kerja pengurusan tabung masjid dan surau khususnya bagi tujuan pembinaan, ubah suai dan naik taraf,” ujarnya.
Sementara itu, Setiausaha MAINPP, Datuk Rosidi Hussain berkata, pihaknya menyambut baik semua cadangan yang dikemukakan dan komited untuk melaksanakannya secara berperingkat.
Menurut beliau, langkah itu penting bagi memastikan pengurusan tabung masjid dan surau dilaksanakan dengan lebih telus, berakauntabiliti serta berteraskan prinsip integriti.
Ringkasan AI
- SPRM Pulau Pinang mengemukakan tujuh cadangan kepada MAINPP untuk memperkukuh pengurusan tabung masjid dan surau
- Cadangan termasuk penambahbaikan garis panduan, pemilihan syarikat yang telus, dan pemantauan perolehan
- Menekankan perlunya SOP yang seragam untuk semua masjid dan surau di Pulau Pinang
- Cadangan berdasarkan dapatan kelemahan dalam pengurusan tabung masjid dan surau
- MAINPP komited untuk melaksanakan cadangan tersebut secara berperingkat
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

