Subsidi bersasar bukan kurangkan bantuan rakyat tapi elak ketirisan, penyalahgunaan - Armizan

Armizan ketika hadir pada sesi libat urus Persatuan Peniaga India di Kota Kinabalu pada Isnin.
Armizan ketika hadir pada sesi libat urus Persatuan Peniaga India di Kota Kinabalu pada Isnin.
A
A
A

KOTA KINABALU - Penyaluran subsidi secara bersasar bukan bertujuan untuk mengurangkan bantuan kepada rakyat, sebaliknya bagi memastikan setiap subsidi disalurkan dengan lebih berkesan kepada golongan yang benar-benar memerlukan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, berkata langkah penyasaran subsidi merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan Madani memperkukuh agenda reformasi subsidi agar ketirisan dan penyalahgunaan dapat dikurangkan.

"Tujuan utama pelaksanaan subsidi bersasar bukan untuk mengurangkan subsidi rakyat, tetapi memastikan ia disalur secara lebih efektif kepada golongan sasar.

"Pendekatan ini juga penting untuk mengekang unsur ketirisan, penyelewengan serta aktiviti penyeludupan," katanya kepada pemberita ketika menghadiri sesi libat urus Persatuan Peniaga India di Sabah di sini pada Isnin.

Menurut Armizan, antara mekanisme utama yang diguna pakai kerajaan bagi menjayakan pelaksanaan subsidi bersasar adalah melalui program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).

"Dalam Belanjawan 2026, dua program bantuan ini diteruskan dan diperbaiki pelaksanaannya.

"Jika kita lihat, bantuan tunai kepada rakyat mula diperkenalkan pada tahun 2012 dengan peruntukan sebanyak RM2.6 bilion yang mana penerima tertinggi ketika itu hanya mendapat RM500 setahun," jelasnya.

Beliau berkata, bagi kategori penerima yang ditetapkan termasuk B40, M40 rendah, warga emas serta golongan bujang, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM13 bilion bagi pelaksanaan bantuan di bawah Belanjawan 2026.

"Jumlah ini jauh lebih besar berbanding tahun 2012 yang hanya melibatkan peruntukan RM2.6 bilion.

Artikel Berkaitan:

"Kini, di bawah Belanjawan 2026, peruntukan meningkat kepada RM13 bilion untuk kategori tersebut," katanya.

Tambahnya, bagi penerima dalam kategori berpendapatan rendah RM2,500 ke bawah dengan tanggungan lima orang anak jumlah bantuan yang diterima juga meningkat dengan ketara.

"Kalau dulu, pada tahun 2012, penerima tertinggi hanya memperoleh RM500 setahun.

"Sekarang, dengan gabungan bantuan melalui SARA dan STR, mereka boleh menerima hingga RM4,600 setahun, menunjukkan peningkatan yang amat signifikan," katanya.

Menurut beliau, peningkatan itu membuktikan komitmen kerajaan untuk meneruskan kaedah penyaluran bantuan tunai yang lebih efektif kepada rakyat.

"SARA ini merupakan program baharu di bawah kerajaan Madani. Kalau sebelum ini bantuan hanya berbentuk tunai, kini kita perkenalkan kemudahan pembelian barangan keperluan harian menggunakan MyKad.

"Ini satu langkah pembaharuan penting dalam sistem penyaluran bantuan negara," ujarnya.

 

Ringkasan AI

  • Penyaluran subsidi bersasar bertujuan untuk memastikan subsidi disalurkan secara efektif kepada golongan yang memerlukan dan bukan untuk mengurangkan bantuan kepada rakyat
  • Langkah penyasaran subsidi adalah usaha kerajaan Madani dalam memperkukuh agenda reformasi subsidi untuk mengurangkan ketirisan dan penyalahgunaan
  • Program bantuan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah dijadikan mekanisme utama dalam pelaksanaan subsidi bersasar
  • Pada Belanjawan 2026, kerajaan memperuntukkan RM13 bilion untuk pelaksanaan bantuan kepada kategori penerima tertentu, meningkat daripada RM2.6 bilion pada tahun 2012
  • Program SARA diperkenalkan sebagai satu langkah pembaharuan penting, membenarkan pembelian barangan keperluan harian menggunakan MyKad sebagai bahagian dari sistem penyaluran bantuan negara

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!