Pusat tahanan kapal milik Maritim Malaysia akan dibina di Pasir Puteh

Mohd Rosli (tengah) menyaksikan simbolik serah terima tugas Pengarah Maritim Malaysia negeri Kelantan.
Mohd Rosli (tengah) menyaksikan simbolik serah terima tugas Pengarah Maritim Malaysia negeri Kelantan.
A
A
A

PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) merancang pembinaan sebuah pusat tahanan kapal (PTV) di Kelantan bagi menampung keperluan operasi penguatkuasaan khususnya melibatkan rampasan kapal asing yang melanggar undang-undang perairan negara.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Rosli Abdullah berkata, pusat tahanan khas itu dicadang dibina di kawasan Sungai Semerak dengan keluasan kira-kira 0.2 hektar bagi menempatkan kapal yang ditahan hasil operasi penguatkuasaan.

“Ketika ini kami menempatkan kapal yang ditahan di kawasan sama tetapi secara sewaan.

“Pemilik tanah bersetuju menjual tapak berkenaan kepada kerajaan dan kawasan itu didapati sangat sesuai untuk dijadikan pusat tahanan kapal secara kekal,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Serah Terima Tugas Pengarah Maritim Malaysia negeri Kelantan di Ibu Pejabat Maritim Kelantan, Tok Bali, di sini, pada Selasa.

Menurut Mohd Rosli, secara purata pusat tahanan berkenaan mampu menempatkan antara enam hingga lapan kapal bersaiz besar malah sehingga 10 kapal bergantung kepada saiz.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Rosli, berkata, Maritim Malaysia turut merancang pembangunan Pejabat Maritim Pengkalan Kubor di atas tanah seluas kira-kira dua hektar bagi memperkukuh kawalan dan kehadiran agensi itu di kawasan sempadan perairan Kelantan.

Bagaimanapun jelasnya, kedua-dua projek iaitu PTV dan Pejabat Maritim Pengkalan Kubor itu masih berada pada peringkat awal yang sudah dipersetujui di peringkat Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk dibawa ke Rolling Plan 2.

“Sasaran pelaksanaan bermula 2027 tertakluk kepada kelulusan lanjut.

Artikel Berkaitan:

“Buat masa ini kos yang terlibat hanyalah kos tanah. Anggaran kos tanah bagi projek Pengkalan Kubor sekitar RM4 hingga RM5 juta, manakala tapak pusat tahanan kapal di Tok Bali dianggarkan sekitar RM2 hingga RM3 juta,” katanya.

Sementara itu, Mohd Rosli memaklumkan bahawa Kompleks Maritim Tok Bali bernilai RM232 juta akan mula dibina tahun ini selepas diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Beliau berkata, projek yang kini berada di peringkat awal termasuk fasa pra-perolehan itu dijangka mengambil tempoh kira-kira tiga tahun untuk disiapkan, melibatkan setahun proses awal dan dua tahun pembinaan.

“Kompleks ini merangkumi pembinaan pejabat, jeti sepanjang kira-kira 200 meter, kuarters anggota serta kemudahan lokap dan sokongan operasi lain,” katanya.

Mengulas prestasi operasi, Mohd Rosli, berkata tahap pematuhan undang-undang maritim negara berada pada tahap baik apabila Maritim Malaysia berjaya mengekalkan kadar tangkapan di bawah tiga peratus selari dengan petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.

“Tahun lalu, lebih 250,000 pemeriksaan vesel dijalankan di seluruh negara, namun jumlah tangkapan tidak mencecah 2,000 kes, iaitu kurang daripada dua peratus.

“Ini menunjukkan tahap pematuhan masyarakat terhadap undang-undang maritim semakin baik,” katanya.

Dalam perkembangan majlis itu, Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi bertukar ke ibu pejabat dan mengalas jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Penyelarasan dan Operasi Maritim.

Jawatan Pengarah Maritim Kelantan kini disandang Kepten Maritim Kamal Mohamad yang sebelum ini bertugas di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah, Kuantan, Pahang.

 

Ringkasan AI

  • Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia merancang membina pusat tahanan kapal di Kelantan
  • Pusat tahanan kapal dicadangkan dibina di Sungai Semerak dengan keluasan 0.2 hektar
  • Kawasan tersebut sebelum ini digunakan untuk menampung kapal yang ditahan secara sewaan
  • Pusat tahanan kapal berpotensi menampatkan antara enam hingga lapan kapal bersaiz besar
  • Projek tersebut masih pada peringkat awal dan sasar pelaksanaan bermula 2027

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!