'5 bulan tak bayar gaji, terpaksa cari hasil hutan, tangkap ikan sendiri'

HULU TERENGGANU – Tiga warga Bangladesh terpaksa mencari makanan sendiri dengan menangkap ikan dan memungut hasil hutan di sekitar Tasik Kenyir selepas tidak dibayar gaji selama lima bulan, dipercayai akibat menjadi mangsa pemerdagangan orang melibatkan eksploitasi buruh paksa.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, ketiga-tiga lelaki berusia antara 29 hingga 44 tahun itu diselamatkan dalam Op Pintas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu yang dijalankan di sebuah tapak pembinaan di daerah ini kira-kira jam 4.30 petang pada Ahad.
Menurutnya, bertindak hasil maklumat risikan, sepasukan pegawai dan anggota daripada Cawangan D7 JSJ Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Hulu Terengganu telah menyerbu lokasi berkenaan.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga mangsa bekerja sebagai buruh binaan dengan waktu kerja tidak menentu serta tidak dibayar gaji selama lima bulan.
“Akibat keadaan tersebut, mangsa terpaksa mendapatkan sumber makanan sendiri dengan menangkap ikan serta memungut hasil hutan di sekitar kawasan Tasik Kenyir,” katanya ketika dihubungi pada Isnin.
Dalam operasi sama, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun yang dipercayai majikan kepada ketiga-tiga mangsa kira-kira jam 5.15 petang pada hari sama.
Tambah Sharudin, siasatan juga mendapati suspek gagal menyediakan tempat tinggal yang kondusif kepada mangsa, selain mengambil dan menyimpan pasport serta permit kerja mereka dalam simpanannya.
Beliau berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 44 dan Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
“Permohonan reman terhadap suspek dan permohonan Interim Protection Order (IPO) terhadap mangsa akan dibuat di Mahkamah Kuala Berang hari ini (Isnin).
“Mangsa juga akan dibawa menjalani pemeriksaan kesihatan selepas proses IPO selesai,” katanya.
Sharudin menegaskan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) memandang serius kes pemerdagangan orang dan akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terlibat.
“Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah ini diminta tampil membantu siasatan,” katanya.
Ringkasan AI
- Tiga warga Bangladesh menjadi mangsa pemerdagangan orang dan eksploitasi buruh paksa di Hulu Terengganu
- Mereka terpaksa mencari makanan sendiri di sekitar Tasik Kenyir setelah tidak dibayar gaji selama lima bulan
- Operasi penyelamatan dilakukan oleh Cawangan D7 JSJ Terengganu dengan kerjasama BSJD IPD Hulu Terengganu
- Seorang lelaki tempatan berusia 46 tahun, dipercayai sebagai majikan, ditahan dalam operasi tersebut
- Kes ini disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
