Kaedah pelaksanaan undang-undang AKPS akan diperkemas - Peguam Negara

PELABUHAN KLANG - Kaedah pelaksanaan undang-undang akan diperkemaskan bagi memastikan tindakan penguatkuasaan yang diambil Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) lebih berkesan.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, ada beberapa aspek perundangan telah dibincangkan dalam melaksanakan tindakan undang-undang.
"Kita boleh menggunakan Akta Kastam 1967 dan prosedur Kanun Tatacara Jenayah bagi mengenal pasti serta menjalankan operasi dengan berkesan selain menggunakan banyak sumber perundangan yang ada dalam undang-undang.

"Apa yang penting, kita kena kenal pasti isu dan kita amalkan atau 'apply' tatacara bertepatan dengan aspek pengoperasian yang dijalankan terutama Akta Kastam 1967 dan Kanun Tatacara Jenayah," katanya dalam sidang akhbar di Pelabuhan Barat di sini pada Isnin.
Tambah Mohd Dusuki, beliau percaya undang-undang yang ada mencukupi, namun kaedah pelaksanaannya sahaja perlu diteliti.
Beliau berkata demikian bagi mengulas sama ada terdapat lompang atau keperluan undang-undang baharu dalam AKPS.
Turut hadir Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Mohd Dusuki sebelum itu hadir membuat lawatan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan arahan Perdana Menteri bagi memperkukuh kawalan sempadan negara khususnya dalam membanteras pengimportan dan penyeludupan sisa elektronik (e-waste) haram ke Malaysia.
"Banyak pengalaman diperolehi dan pengetahuan yang dikongsikan bersama tentang bagaimana tatacara AKPS menahan kontena serta membuat pemeriksaan selain mengesan bahan terlarang terutama kontena e-waste.
"Saya percaya perlu ada penambahbaikan kerana isu ini rumit. Pencarian, pengesanan dan pembongkaran kontena ini bukan suatu kerja mudah kerana memerlukan ramai anggota serta pegawai untuk memastikan kelancaran.
"Sistem ini juga boleh ditambah baik dari segi alat dan mesin yang diperlukan AKPS," ujarnya.
Dedahnya, antara modus operandi penyeludupan e-waste ialah melindungi barangan itu di sebalik produk lain.
Ringkasan AI
- Kaedah pelaksanaan undang-undang akan dipertajam bagi memastikan tindakan AKPS lebih berkesan
- Akta Kastam 1967 dan Kanun Tatacara Jenayah digunakan untuk operasi penguatkuasaan
- Undang-undang sedia ada dianggap mencukupi, hanya kaedah pelaksanaannya yang perlu diteliti
- Tujuan penelitian adalah untuk mempertingkatkan kawalan sempadan dan membanteras penyeludupan e-waste
- Pengalaman dan pengetahuan tentang tatacara AKPS diperkaya, sambil mencadangkan penambahbaikan sistem dan alat penguatkuasaan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
