Sindiket pemalsuan dokumen tumpas, 3 warga Bangladesh ditahan

Antara warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pemalsuan pasport.
Antara warga Bangladesh yang ditahan kerana disyaki terbabit dengan sindiket pemalsuan pasport.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik sindiket memalsukan pasport dengan menukar gambar dan butiran peribadi pelanggan, sebelum digunakan untuk pemeriksaan kesihatan Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) terbongkar susulan tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiga lelaki berusia 25 hingga 31 tahun termasuk seorang individu dikenali sebagai Nayeem yang dipercayai 'dalang utama' sindiket ditahan dalam Operasi Khas di sekitar Jalan Jelawat di sini pada Isnin.

"Hasil pemeriksaan mendapati ketiga-tiga suspek memiliki dokumen sah, dua dengan Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dalam sektor pembinaan dan pertanian, manakala seorang lagi memiliki Pas Pelajar," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, operasi bermula jam 8.30 pagi itu dijalankan hasil risikan selama dua minggu oleh Bahagian Perisikan dan Operasi Khas, Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

"Kita turut merampas 21 pasport Bangladesh palsu, satu pasport Myanmar palsu, 21 helaian muka surat biodata, empat telefon bimbit, satu set komputer dan sebilah pisau pemotong," katanya.

Beliau berkata, sindiket ini menyasarkan warga asing yang tidak sihat atau 'unfit' untuk pemeriksaan kesihatan.

"Sindiket mengenakan bayaran antara RM200 hingga RM350 bagi setiap pasport palsu dan saringan kesihatan yang dijalankan dipercayai aktif sejak dua bulan lalu," katanya.

Menurutnya, tangkapan ini adalah kali ketiga tahun ini membabitkan sindiket dengan modus operandi yang sama.

"Ketiga-tiga suspek ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(l) Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut," katanya.

Artikel Berkaitan:

 

Ringkasan AI

  • Sindiket memalsukan pasport dengan menukar gambar dan butiran peribadi untuk pemeriksaan kesihatan FOMEMA dibongkar dengan tangkapan tiga lelaki warga Bangladesh
  • Datuk Zakaria Shaaban mengumumkan penahanan termasuk seorang 'dalang utama' dalam operasi khas di sekitar Jalan Jelawat
  • Suspek memiliki dokumen sah termasuk Pas Lawatan Kerja Sementara dalam sektor pembinaan dan pertanian serta Pas Pelajar
  • Operasi berdasarkan risikan dua minggu membawa kepada rampasan 21 pasport Bangladesh palsu, satu pasport Myanmar palsu dan lain-lain peralatan
  • Sindiket menyasarkan warga asing 'unfit' untuk pemeriksaan kesihatan dengan caj RM200 hingga RM350 bagi setiap pasport palsu

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!