Maritim Selangor bantu pindah penumpang kapal persiaran diserang strok

SHAH ALAM - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Selangor melaksanakan misi bantuan evakuasi perubatan (MEDEVAC) terhadap seorang penumpang wanita yang mengalami strok di dalam sebuah kapal persiaran ketika dalam perjalanan dari Phuket, Thailand ke Singapura, petang semalam.
Pengarah APMM Selangor, Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata, Pusat Operasi APMM Selangor menerima permohonan bantuan pemindahan mangsa dari kapal persiaran Ovation of the Seas, kira-kira jam 3.53 petang.
"Pesakit yang dikenali sebagai Tan Yok Ah, 84, telah dibawa menggunakan Bot Penggalang 10 dari posisi pertemuan di kedudukan 3.2 batu nautika barat daya Pulau Pintu Gedong, sekitar jam 5.35 petang dan selamat tiba di Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Pulau Indah kira-kira 6 petang hari yang sama.
"Setibanya di jeti, pesakit segera dikejarkan ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi (BTMC) dengan menaiki ambulans untuk mendapatkan rawatan lanjut bersama dua petugas perubatan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Dalam masa sama, Abdul Muhaimin berkata, pihaknya bersiap siaga memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan di perairan negara tanpa mengira masa dan keadaan. - Bernama
Ringkasan AI
- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia Selangor melaksanakan misi evakuasi perubatan ke atas seorang wanita yang mengalami strok di kapal persiaran dari Phuket ke Singapura
- Permohonan bantuan diterima oleh Pusat Operasi APMM Selangor pada jam 3.53 petang
- Pesakit dikenali sebagai Tan Yok Ah, berumur 84 tahun, telah dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Pulau Indah menggunakan Bot Penggalang 10
- Setibanya di jeti, pesakit segera dihantar ke Pusat Perubatan Bukit Tinggi untuk rawatan lanjut
- APMM Selangor bersiap siaga memberikan bantuan kecemasan dan kemanusiaan di perairan negara
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
