'Jho Low arah cek Najib jangan ditolak' - Saksi

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi pada Isnin diberitahu bahawa ahli perniagaan buruan, Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low mengambil langkah bagi memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak di AmBank tidak dipulangkan kerana dana tidak mencukupi.
Bekas pengurus hubungan AmBank, Joanna Yu Ging Ping, 54, berkata, berdasarkan interaksinya dengan Jho Low, lelaki itu memberitahunya supaya memastikan cek yang dikeluarkan daripada akaun Najib tidak dipulangkan.
"Beliau (Jho Low) menyebut supaya cek tidak ditolak atau dikembalikan sekiranya akaun terlebih keluar. Terdapat beberapa keadaan di mana rakan Jho Low akan membawa wang tunai ke bank untuk didepositkan ke dalam akaun apabila ia terlebih keluar.
"Saya rasa beliau tidak bimbang tentang cek apa yang dikeluarkan. Beliau bimbang sekiranya cek itu tidak ditunaikan oleh bank akibat dana tidak mencukupi. Terdapat beberapa insiden di mana Jho Low akan menghantar mesej kepada saya bertanyakan baki dalam akaun Najib,” katanya.
Joanna berkata demikian semasa pemeriksaan utama oleh peguam Najib, Muhammad Farhan Muhammad Shafee, dalam saman sivil RM42 juta yang difailkan oleh SRC International Sdn Bhd dan anak syarikatnya, Gandingan Mentari Sdn Bhd, terhadap bekas perdana menteri itu.
Beliau berkata, memandangkan perkara itu berlaku beberapa kali, beliau pada beberapa kesempatan pernah bertanya kepada Jho Low dan pemegang amanah akaun Najib, bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC International, Nik Faisal Ariff Kamil, mengenai sebab mengapa dana mencukupi tidak dipastikan sebelum cek dikeluarkan.
Apabila ditanya oleh Muhammad Farhan sama ada adalah perkara biasa bagi pemegang akaun mengeluarkan cek sedangkan akaun tidak mempunyai dana, Yu yang merupakan saksi defendan keempat berkata akaun tersebut bukan akaun biasa.
"Akaun ini milik Perdana Menteri. Ia bukan akaun biasa. Saya rasa tiada sesiapa yang sanggup melakukan perkara ini, melainkan mereka menganggap terdapat dana dalam akaun itu,” katanya.
Saman sivil yang difailkan pada tahun 2021 oleh SRC dan Gandingan Mentari itu menuntut pengisytiharan bahawa Najib bertanggungjawab ke atas RM42 juta serta ganti rugi bagi penerimaan yang mengetahui, bantuan secara tidak jujur, salah laku dalam jawatan awam dan penyalahgunaan kuasa.
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan bersambung esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Jho Low mengambil langkah memastikan cek dari akaun Najib tidak ditolak kerana kekurangan dana
- Joanna Yu, bekas pengurus hubungan AmBank, berinteraksi dengan Jho Low mengenai hal ini
- Jho Low kerap memastikan wang tunai dideposit ke akaun Najib apabila perlu
- Yu menyatakan masalah ini berlaku kerap dan telah bertanya mengapa dana tidak dipastikan sebelum cek dikeluarkan
- Saman sivil SRC International dan Gandingan Mentari terhadap Najib menuntut RM42 juta ganti rugi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
