Timbalan penolong pengarah Imigresen didakwa terima suapan RM140,000 lepaskan 56 warga Bangladesh

SHAH ALAM - Seorang Timbalan Penolong Pengarah, Jabatan Imigresen Malaysia mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas empat pertuduhan menerima suapan RM140,000 bagi melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh tanpa mengikut prosedur pada Mei tahun lalu.
Mastura Aziz, 49, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Datuk Mohd Nasir Nordin .
Mengikut semua pertuduhan, wanita itu didakwa menerima suapan wang masing-masing RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing.
Ia didakwa sebagai upah tertuduh ketika itu sebagai Timbalan Penolong Pengarah Imigresen di Pejabat Imigresen, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 bagi melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh ke Malaysia tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan JIM.
Kesalahan didakwa dilakukan di Pusat Penjaja Kota Warisan Bandar, stesen minyak di Persiaran Warisan Maju dan pusat beli belah di Sepang pada 3, 7, 11 dan 15 Mei 2025.
Setiap pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Irna Julieza Maaras mencadangkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.
Bagaimanapun, peguam, Datuk Geethan Ram Vincent berkata, anak guamnya tidak pernah gagal untuk hadir ke pejabat SPRM setiap kali dipanggil memberi keterangan.
"Ini menunjukkan dia tidak mempunyai risiko untuk melarikan diri dan dia bersedia untuk memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan mahkamah," katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mohd Nasir membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin termasuk melaporkan diri di pejabat SPRM sekali setiap bulan.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 25 Februari depan.
Ringkasan AI
- Seorang Timbalan Penolong Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas empat pertuduhan menerima suapan RM140,000
- Mastura Aziz, 49, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan untuk melepaskan kemasukan 56 warga Bangladesh tanpa mengikut prosedur
- Wanita itu didakwa menerima suapan berjumlah RM12,500, RM47,500, RM52,500 dan RM27,500 daripada seorang lelaki warga asing
- Kesalahan dilakukan di lokasi berbeza di Sepang pada Mei tahun lalu
- Mahkamah membenarkan ikat jamin RM20,000 dengan syarat melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

